Wednesday, April 21, 2010

Bersuci

“Sesunguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan yang suka menyucikan diri " (Al Baqarah : 222)

Saudaraku sekalian,

Dari ayat di atas jelaslah bahawa ALLAH amat menyukai orang-orang yang bertaubat dan juga mereka yang MENYUCIKAN DIRI. Untuk menyucikan diri ada beberapa perkara yang perlu kita tahu dan faham iaitu:

1) Jenis-jenis bersuci.
2) Jenis-jenis najis.
3) Jenis-jenis air.

Terdapat 3 jenis bersuci iaitu

1) Bersuci dari hadas kecil.
Apabila kita berada dalam keadaan hadas kecil, kita dilarang mengerjakan solat dan menyentuh al-Quran.Cara untuk bersuci ialah dengan mengambil wudhu'.

2) Bersuci dari hadas besar.
Apabila kita dalam keadaan hadas besar, solat, puasa, menunaikan haji, iktikaf di masjid dan menyentuh atau membaca al-Quran. Cara untuk bersuci alah dengan mandi junub (mandi wajib).

3) Istinjak
Bertujuan bagi menghilangkan najis yang keluar dari dua saluran iaitu qubul dan dubur.

Terdapat 3 jenis najis dalam Islam yang mana pembahagiannya adalah seperti berikut:

1) Najis Mukhaffafah
Hanya satu iaitu air kencing anak lelaki yang berumur kurang 2 tahun dan tidak minum atau makan selain dari susu ibunya sahaja. Cara menyucikan najis ini ialah dengan merenjis air pada tempat yang terkena najis dan lapkan sahaja.

2) Najis Mughallazah
Terdapat dua iaitu anjing dan babi serta segala anggota tubuhnya. Cara menyucikan ialah dengan dengan menyiram sekali air tanah atau lumpur dan dibilas 6 kali dengan air yang bersih.

3) Najis Mutawasitah
Ialah najis selain daripada 2 najis di atas. Cara penyuciannya terbahagi kepada dua:
(i)Hikmiah adalah najis yang kita yakini adanya tetapi tidak nyata zatnya seperti air kencing yang sudah lama kering hinggakan sifatnya sudah hilang.Najis ini disucikan dengan mengalirkan air ke atasnya.
(ii)'Ainah adalah najis yang dicuci dengan menghilangkan dan membersihkan semua zatnya.

Jenis-jenis air terbahagi kepada 5 iaitu:

1) Air Mutlak.
Air yang suci lagi menyucikan. Air ini boleh digunakan untuk bersuci dan juga mengambil wudhu'.

2) Air Musta'mal
Air yang suci tapi tidak menyucikan contohnya air kopi, teh, kelapa, tebu dll. Air seperti ini boleh diminum tetapi tidak boleh digunakan untuk bersuci.

3) Air Muqaiyyad
Air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya sama ada dari segi warna, bau atau rasa yang menyebabkan air tersebut tidak dipanggil air mutlak lagi contohnya air mutlak yang telah bercampaur dengan air musta'mal. Air ini juga tidak boleh digunakan untuk bersuci.

4) Air Musyammas
Air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh menggunakannya. Musyammas ialah air yang disimpan di dalam bekas logam dan terdedah kepada panas matahari. Air yang sedang panas itu makruh hukumnya digunakan untuk berwuduk dan bersuci daripada hadas.

5) Air Mutanajjis
Air yang telah terjatuh najis ke dalamnya sehingga berubah warna, bau atau rasa walaupun jika dicampur hingga kadar dua kolah. Tidak suci, tidak boleh diminum dan tidak boleh dibuat bersuci.

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

No comments:

Post a Comment