Thursday, May 20, 2010

Hadis 1

عن أمِيْرِ المُؤْمِنِيْنَ أبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الخَطَّاب رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ ا للهِ
صلى الله عليه وسلم یَقُولُ: (( إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ آَانَ تْ
هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ وَمَنْ آَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا یُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَ ةٍ
یَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ)) . رواه إماما الحدثين أبو عبد الله محمد بن إسماعيل بن
إبراهيم بن المغيرة بن بردزیة البخاري، وأبو الحسين مسلم بن الحجاج بن مسلم القشيري
النيسابوري في صحيحيهما اللذین من أصح الكتب المصنفة
.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis;

1) Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari 2) Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim al-Qusyairie al-Naisaburi

Pokok perbincangan hadis :

1) Sebab keluar Hadis ini - kisah Hijrah Ummu Qais

2) Kenapa niat penting : untuk bezakan ibadat dengan adat. Untuk tentukan qasad amal - adakah untuk Allah atau selainNya.

3) Hukum melafazkan niat(jahr) - bid’ah mungkarah : tidak thabit dalam quran dan sunnah - (asal ibadah haram kecuali berdalil) - fuqaha’ Syafie : sunnat. Haram sekiranya dengan jahr niat boleh mengganggu orang lain (solat).

4) Kesan niat baik pada perkara yang harus : dikira sebagai qurbah (hampir dengan Allah), dan diberi pahala baginya. Makan minum - niat nak buat ketaatan/ memberi nafkah - (hak anak/isteri) jima’@ bergaul dgn isteri - dikira ibadah (memberi hak).

5) Beberapa Langkah Perkara Harus bertukar menjadi Qurbah: Tidak boleh jadikan gambaran luaran perkara harus sebagai qurbah. Cth- berdiri di bawah panas matahari …..(hadis nazar seorang lelaki) Perkara yang mubah sebagai wasilah kepada ibadah. Mengambil ia sebagai tasyri’ Ilahi - yakin bahawa ianya harus/ tidak melampau/ menepati syariat. Menganggap ianya sebagai juz’ie - tak boleh berpanjangan sehingga membinasakan diri - seperti - tak makan - berdosa.

Antara pengajaran hadis:

Niat adalah teras segala amalan. Amalan baik mesti disertakan niat yang baik. Amalan yang buruk atau amalan yang baik tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syara', tidak membawa apa-apa faedah walaupun dilakukan dengan niat yang baik. Demikian juga amalan baik jika diniatkan bukan kerana Allah, seumpama kerana riya', menunjuk-nunjuk atau kerana suatu tujuan duniawi, maka ia tidak memberikan apa-apa faedah. Ulama ada berkata: Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat dan suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat. Sesuatu amalan dibalas berdasarkan niat pelakunya. Hijrah adalah suatu peristiwa besar dalam lslam di mana umat lslam diperintahkan berhijrah. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan dikurniakan pahala besar, sebaliknya jika kerana dunia atau perempuan, maka dia hanya mendapat apa yang diniatkannya. Walaupun hijrah sudah tiada lagi, namun hijrah dengan makna meninggalkan maksiat kepada melakukan taat, ia juga dianggap hijrah yang akan dikurniakan pahala.

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

Monday, May 17, 2010

Kekasih Awal Dan Akhir

Malam menanti siang
Siang menanti malam
Bagai berkurun lamanya
Masa memisahkan KITA
Hingga ku terlupa
Pada paras rupa

Malam mencari mimpi
Siang mencari erti
Tersingkap seribu makna
Terucap seribu kata
Terlepaslah... rahsia

Sekian lama berpisah
Akhirnya bertemu
Mengenang dosa
Mengenang rindu
Dan ternyatalah
Cintaku yang SATU

KAU KEKASIH awal dan akhir
KAU KEKASIH batin dan zahir
Setelah ku sedari
CintaMU yang abadi

Tak ku hairan tak ku peduli
Walau bulan jatuh ke bumi
Dan hadir bidadari
Tak ku mimpikan lagi

Kerana KAU lebih mengerti

*Jamal Abdillah*

Friday, May 7, 2010

Tasbih Kiffarah

Tasbih Kiffarah ini biasanya dibacakan pada setiap kali berakhirnya sesuatu majlis. Berkenaan dalil-dalil tentangnya pula sy senaraikan seperti di bawah:

1) Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah berkata: “Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, dan melakukan banyak salah dan silap, maka sebelum dia meninggalkan majlis itu dia menyebut:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

(Maha Suci Engkau Ya Allah dan Segala Puji BagiMu, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan dan taubat daripada Engkau)

melainkan diampunkan segala dosa yang telah dilakukan sepanjang dia berada dalam majlis itu”.

2) Daripada Abu Barzah r.a berkata: Rasulullah s.a.w pernah menyebut pada hujung usia baginda apabila baginda hendak bangun meninggalkan sesuatu majlis:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

(Maha Suci Engkau Ya Allah dan Segala Puji BagiMu, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan dan taubat daripada Engkau).

Maka berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah menyebut suatu ucapan yang mana tidak pernah engkau ucapkan sebelum ini. Berkata Rasulullah s.a.w: “Ia merupakan kaffarah (penebus dosa) terhadap apa yang berlaku dalam majlis”.

3) Daripada Abdullah bin Amr bin Al-As: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berkata: “Suatu ucapan yang tidak diucapkan oleh seseorang apabila hendak bangun meninggalkan majlis sebanyak 3 kali melainkan dihapuskan dosa yang telah dilakukan dalamnya, dan tidak diucapkannya dalam suatu majlis yang baik dan majlis zikir melainkan ditutup dengan ucapan itu:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

(Maha Suci Engkau Ya Allah dan Segala Puji BagiMu, tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan dan taubat daripada Engkau).

4) Daripada Ibnu Umar berkata: Bahawasanya Rasulullah s.a.w biasa menyebut sebelum meninggalkan suatu majlis sebanyak 100 kali:

رَبِّ اغْفِرْلِيْ وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الْغَفُوْرُ

(Ya Tuhanku, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau adalah Maha Penerima Taubat dan Maha Pengampun).

Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas menunjukkan Rasulullah s.a.w sendiri menjadikan Tasbih Kiffarah ini sebagai amalan baginda setiap kali menutup sesuatu majlis. Sayangnya apa yang terjadi sekarang masyarakat kita masih lagi belum menjadikan doa ini sebagai rutin dan amalan biasa apabila selesai atau menutup sesuatu majlis. Tidak seperti doa pembuka majlis sama ada dengan hanya membaca Basmalah, Surah Al-Fatihah atau doa-doa tertentu yang memang dimasukkan secara rasmi dalam agenda dan tentatif majlis.

Selain itu, kita juga perlu perluaskan amalan doa ini bukan sahaja dalam majlis-majlis rasmi atau mesyuarat yang diadakan di dalam suatu tempat yang tertutup tetapi juga di tempat-tempat yang terbuka seperti majlis perhimpunan dan sebagainya.

Biarlah setiap majlis yang diadakan itu mendapat keampunan, keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT kerana kita telah memeliharanya dengan memulakan majlis dengan berdoa dan mengakhiri majlis juga dengan berdoa.

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

Bacaan Tasbih Kifarah dan Dalil-dalilnya


Seorang sahabat bertanya tentang bacaan tasbih kifarah dan dalil-dalil yang menunjukkan Rasulullah s.a.w juga pernah membaca tasbih ini.


*Jawapan Kepada Pertanyaan*

Ranjang Mawar

Kerana DIA aku menangis
Tanggalkan sisa kewarasanku
Rela melepaskan kemudi di tangan
Kala ribut gelora
Datang mendera samudera

Kerana DIA aku menangis
Padamkan gaya dan perasaan
Sanggup memutuskan pertalian diri
Kepada selain DIA yang ku damba

Ku tenggelam dalam rindu
Tidak berdasar dan bertepi
Ku terdampar dalam sendu
Tidak bernoktah dan berhuruf

Ku terkorban dalam cinta
Tak beralasan dari lembar
Satu lagi tak menjanjikan
Ranjang mawar yang ku mimpi

Ku mimpikan yang ku mimpi

*Wings*

Monday, May 3, 2010

Asma ul-Husna

Sama-samalah kita menghayati himpunan 99 Nama ALLAH yang indah

Sunday, May 2, 2010

Zihar



Sebelum kita membicarakan lebih lanjut berkenaan zihar, eloklah kiranya kita ketahui dulu dari mana datangnya 'zihar'. Sebagaimana yang diketahui di zaman jahiliah bahawa seorang suami bila berkata kepada isterinya : “Kamu dengan aku seperti belakang ibuku” ini adalah kerana ia bermaksud untuk mengharamkan isterinya itu hidup bersamanya buat selama-lamanya.

Oleh itu, ini adalah merupakan satu keburukan dan penyeksaan terhadap kaum perempuan. Islam telah melarang perbuatan yang demikian dan menganggapnya sebagai suatu perkara yang mungkar.

Perbuatan atau perkataan yang demikian dikatakan sebagai satu perkataan mungkar, kerana perkara ini adalah satu bentuk penyeksaan terhadap kaum perempuan dan pengharaman terhadap sesuatu yang dihalalkan oleh Allah. Perkataan tersebut dikatakan dusta semata-mata adalah disebabkan kerana isteri itu bukanlah ibu dan tidak mempunyai persamaan langsung di antara keduanya.

Walau bagaimanapun Islam tidaklah membiarkan begitu sahaja perbuatan suami itu malah mengambil tindakan terhadap suami yang melakukannya iaitu dengan mewajibkan si suami membayar kifarah, supaya dapat mengelakkan si suami mengulangi lagi perbuatan tersebut. Selepas membayar kifarah, suami boleh kembali semula bergaul dengan isterinya seperti biasa. Ini berlainan sekali dari apa yang berlaku di zaman jahiliah yang menganggap isteri-isteri yang telah dizihar itu gugur talaqnya sebagai talaq bain yang tidak boleh dirujuk sama sekali buat selama-lamaya. Jelaslah kehadiran Islam pada masa itu telah menyelamatkan kaum-kaum wanita daripada ditindas melalui perbuatan zihar ini.

Pengertian Zihar

Dari segi bahasa Zihar bermaksud bahagian-bahagian belakang tubuh badan hingga ke belikat. Di situlah segala bebanan ditanggung oleh manusia.

Dari segi Syarak Zihar bermaksud suami yang telah menyerupakan juzuk tubuh badan isteri dengan mahram suami dengan mana-mana anggota lahirnya.

Allah s.w.t sangat melarang keras bagi suami yang menyamakan isteri mereka dengan mahramnya sebab isteri bukanlah orang yang melahirkan mereka sebaliknya si isteri itu adalah orang yang melahirkan anak-anak mereka. Sesiapa yang telah melakukan zihar sesungguhnya telah melakukan pengkhianatan terhadap rumahtangganya.

Allah s.w.t telah berfirman yang maksudnya:

“Orang-orang yang menzihar isteri di antara kamu,(menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya (mengziharkan) perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” (Surah Mujadalah:2)

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang duahati di dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu sendiri….” (Surah al-Ahzab:4)

Menurut adat kebiasaan Arab jahiliah apabila si suami menziharkan isterinya maka tercerailah suami isteri itu dan tidak boleh bersama kembali (tidak boleh rujuk) buat selama-lamanya. Tetapi setelah datangnya Islam maka amalan ini dihapuskan yang mana zihar tidaksampai bercerai suami isteri tetapi dilarang pergaulan(jimak) suami isteri sehingga suami membayar kifarah.

Contoh perkataan yang boleh terjatuhnya hukum zihar ialah, seperti kata suami kepada isterinya:

“Jari sayang yang halus ni sejibik dengan jari mak abang tu.”

“Muka ayang ni macam muka Bedah, cucu kita anak si Jalut tu.”

Tidak jatuh hukum zihar kalau suami menyamakan mahramnya dengan isteri. Begitu juga halnya kalau disamakan dengan rambut, kuku, air mata, air susu,gigi, air liur atau peluh kerana ia adalah lebihan anggota badan.

Rukun Zihar

Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat rukun iaitu:

1. Suami yang sah
2. Isteri yang sah
3. Orang yang diserupakan dengan isteri (muhram suami).
4. Lafaz samada secara terang-terangan atau sindiran
melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami.

Bagaimana cara untuk kita tahu siapakah mahram suami itu? Hanya ada tiga golongan sahaja mahram suami yang melibatkan jatuhnya hukum zihar iaitu:

Sebab keturunan

1) Ibu kandung.
2) Anak perempuan.
3) Adik-adik beradik perempuan suami samada seibu sebapa, seibu atau sebapa;
4) Nenek kandung hingga ke atas
5) Anak saudara perempuan iaitu anak kepada adik beradik lelaki atau perempuan suami yang seibu sebapa,seibu atau sebapa;
6) Nenek saudara seibu sebapa. Seibu atau sebapa
7) Cucu-cucu perempuan samada dari anak lelaki atau perempuan hingga ke bawah.

Mahram 'Asal'

Hanya ibu tiri sahaja yang tidak boleh disamakan dengan isteri. Masalah ini terbahagi dua, ayah kita kahwin dua (emak kita bermadu) tapi semasa itu kita belum lahir lagi ke dunia. Contohnya, ketika itu kita masih di dalam kandungan ibu, ayah kita kahwin seorang lagi. Lahir-lahir sahaja ke dunia, ibu tiri telah menjadi ahli keluarga kita. Maka hanya ibu tiri ini sahajalah yang tidak boleh disamakan dengan isteri. Seandainya ayah berkahwin lagi sewaktu kita sudah pandai merangkak maka tidak jatuh hukum zihar disamakan si isteri dengan ibu tiri tersebut.

Perlu diingat bahawa anak perempuan tiri, menantu perempuan atau ibu mertua tidak akan jatuh zihar jika isteri disamakan dengan mereka sebab mahramnya datang kemudian.

Ibu susu ramai terdapat di kalangan bangsa Arab dan jarang sekali berlaku di dalam bangsa kita. Amalan ini elok dilaksanakan, ianya bertujuan untuk menyihatkan akal fikiran dan pertumbuhan si anak.

Seelok-eloknya carilah dua tiga orang ibu susuan sepertimana Rasulullah s.a.w. Baginda telah disusukan oleh Halimatun Saadiah dan Thuwaibatul Islamiah.

Pendapat ulama Syafie, seseorang anak itu boleh dijadikan anak susuan selagi usianya belum dua tahun dengan syarat lima kali kenyang. Tanda anak itu kenyang bila dia terlena dan melepaskan hisapan dari ibu susuannya. Jika suami menghisap susu isteri, suami tidak akan menjadi orang sesusuan.

Mahram secara ridha’ (susuan)

Berlakunya hukum zihar apabila suami menyamakan anggota lahir isteri dengan nenek susuan (ibu susuan kepada ayah atau ibu si suami). kerana semasa ayah atau ibu si suami menyusu kepada ibu susuannya, ia belum lahir ke dunia.

Tidak berlaku zihar jika suami menyamakan anggota isteri dengan ibu susuan si suami kerana semasa suami menyusu dengan ibu susuannya, suami itu sudah lahir ke dunia. Begitu juga tidak jatuh zihar sekiranya menyamakan si isteri dengan adik beradik perempuan sesusuan, anak saudara sesusuan, ibu saudara sesusuan samada keluarga dari sebelah ibu susuan atau ayahsusuan.

Lengkaplah hukum zihar apabila telah memenuhi rukun yang keempat iaitu lafaz atau 'sighah'. Lafaz ini mengandungi tiga bahagian iaitu:

1) Perkataan yang nyata ataupun secara sindiran(kinayah). Kalau berlaku secara sindiran ianya berkehendakkan niat. Sekiranya ada niat untuk menyamakan isteri dengan mahram suami maka barulah jatuh hukum zihar.
2) Tulisan (surat) Contohnya: “Menemui darlingku yang dikasihi, sepanjang kursus peralihan ini yang entah bila habisnya, abang selalu terkenangkan darling. Wajah darling saling tak tumpah macam rupa anak kita Angelina Jolie” Secara automatik jatuhlah hukum zihar kerana si isteri telah disamakan dengan anak perempuan mereka.
3) Isyarat ditujukan kepada orang bisu dengan syarat ianya boleh difahami.

Denda dan kafarah bagi suami yang mengziharkan isteri

Kerana itu, apakah yang mesti dibuat oleh seseorang itu sekiranya dia telah menziharkan isterinya? Apakah caranya hendak rujuk kembali daripada perbuatan itu.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Orang-orang yang telah menziharkan isteri mereka dan kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan itu, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur.Demikianlah yang diajarkan kepada kamu dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Dan di dalam firman yang berikutnya, Allah berfirman lagi yang bermaksud:

“Barangsiapa yang tidak mendapat budak (hamba) untuk dimerdekakan, maka wajiblah atasnya (suami) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur.Maka siapa yang tidak kuasa, Wajiblah atasnya memberi makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan itulah hukum-hukum Allah dan orang-orang kafir ada baginya seksaan-seksaan yang amat pedih.”

Melalui ayat di atas dapatlah difahami turutan denda yang dikenakan. Untuk membayar denda tersebut, suami itu tidak boleh memilih mana-mana yang dia suka.

Katalah dirasakannya mudah untuk membeli beras mengikut kadar yang telah ditetapkan. Cara ini adalah salah, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah mengikut susunan denda yang ditetapkan oleh Allah.

Syarat yang pertama sekali, memerdekakan seorang budak atau hamba. Syarat ini sudah tentulah tidak boleh dilakukan pada hari ini kerana perhambaan sudah tidak ada lagi. Dengan sendirinya syarat pertama ini menjadi mansukh. Maka seorang suami itu mestilah menjalani syarat yang kedua.

Syarat yang kedua pula iaitu dia mestilah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sebelum dia menghabiskan puasa dua bulan berturut-turut ini, dia belum boleh menggauli atau mensetubuhi isterinya.

Tidak boleh puasa itu tertinggal walau satu hari pun dalam turutan 60 hari itu. Misalnya kalau di hari yang ke 59 iaitu suami diserang sakit, lalu tidak berpuasa,dia wajib mengulangi kembali puasanya dari awalnya.Puasanya yang sebelum itu dikira batal dan dia mesti mengulang kembali puasa itu bertolak dari mula.

Kalau dia berpuasa juga hingga boleh memudaratkan kesihatan diri (termasuk juga memudaratkan diri dengan menanggung ke'sangap'an nafsu syahwat) maka bolehlah dia beralih kepada syarat ketiga.

Syarat yang ketiga pula iaitu membayar 60 cupak beras kepada 60 orang fakir miskin yang layak menerima zakat fitrah. Jika tidak mampu memberi sekaligus, bolehlah diansur-ansurkan. Misalnya, hari ini dia keluarkan lima cupak beras untuk lima orang fakir miskin. Hari akan datang dia beri lagi sepuluh cupak kepada sepuluh orang fakir miskin lain. Begitulah keadaannya sehingga selesai tuntutan tersebut. Setelah tamat segala pembayaran maka barulah boleh digauli isteri seperti biasa.

Harus diingat bahawa tidak gugur hukum kifarah zihar walaupun suami menceraikan isterinya dengan talak satu (untuk mengelak kafarah atau dengan harapan agar dapat rujuk kembali). Kalau dirujuk kembali setelah tamat iddahnya maka jadilah pergaulan keduanya sebagai zina. Berlipat gandalah dosa yang dilakukan selagi denda yang pertama belum dijelaskan.

Demikianlah perkara-perkara yang menjadi syarat-syarat atau rukun dalam menjatuhkan hukum zihar ke atas seorang isteri. Oleh itu, suami hendaklah berhati-hati dalam hal ini kerana apabila isteri telah terzihar, perbuatan itu adalah satu kesalahan,satu dosa dan kemungkaran.

Kalau tidak disedari, akan membawa kepada kerosakan dan kecelakaan rumahtangga. Dari dosa yang satu itu,ia akan membabitkan lain-lain dosa hinggakan apabila dosa-dosa itu berpanjangan, rumahtangga boleh porak peranda. Tidak ada keberkatan dan tidak ada rahmat daripada Allah s.w.t. Akibatnya, kalau sampai mati tidak kita sedari,entah berapa banyak dosa-dosa yang telah dikumpulkan.Nauzubillah...

Akhir kata dari sy, dalam membina rumahtangga yang bahagia, suami isteri mestilah berhati-hati di dalam mengeluarkan kata-kata. Si isteri jangan suka bertanya itu dan ini mengenai peribadinya jikalau ada persamaan dengan ahli keluarga suami. Bimbang kalau si suami jahil dalam bab ini atau terlepas cakap mengakibatkan jatuhnya hukum zihar. Kadang-kadang kerana peramahnya mulut isteri, suami pula yang menjadi mangsanya.

Sekiranya masih ada kekeliruan bolehlah bertanyakan kepada sy.

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

Seribu Bayangan

Kau masih menduga sehingga kini
Andai ku bersenda dengan teka-teki
Seribu bayangan aku gambarkan
Masih lagi kau tak mengerti

Sedalamnya lautan tingginya bulan
Bisa disentuh dengan pengetahuan
Sepahitnya hempedu bisa ditelan
Jika itulah penawarnya

Inikan pula perasaan yang lahir dari jiwa
Dan kita sama-sama merasa denyut kasihNya

Bukan sengaja aku merahsiakan CINTA
Tapi curiga kau kan tersalah sangka
Kerana kita rasa bangga bila dipuja
Dan rasa keji bila dihina

Kerana kita menolak segala bencana
Dan asyik bergembira dengan nikmatNya
Sedangkan semua ini adalah takdirNya
Dan kita harus bersyukur sentiasa

Bukannya teka teki gurauan hati
Sekadar melindung KASIH yang tersembunyi
Bukan mudah mencari KASIH ABADI
Dalam terang ia sembunyi

*Damasutra*

Pertanyaan Tentang Zihar


Seorang sahabat bertanya "Sekiranya dipanggil si isteri dengan panggilan 'ibu' atau isteri memanggil si suami dengan panggilan 'ayah' adakah jatuh zihar?" InsyaALLAH soalan ini akan dijawab kemudian sekiranya berkesempatan.

*Jawapan Kepada Pertanyaan*

Qada Solat... ada atau tidak?



Assalamualaikum... dengan sedikit ilmu yang ada pada sy InsyaALLAH sy akan cuba menjawab pertanyaan yang telah diutarakan oleh seorang sahabat. Sahabat itu bertanyakan tentang ada atau tidak qada solat itu? Di sini sy akan menyampaikan beberapa hujah samada ada atau tidak qada solat ini. Antara hujahan sy ialah:

1) Solat tetap perlu ditunaikan walau sakit sebagaimana sekalipun.

Imran bin Hussin r.a mengadu bahawa dia sakit buasir, Rasulullah s.a.w bersabda," Solatlah berdiri, jika tidak mampu (solatlah) secara duduk dan sekiranya tidak mampu solatlah sambil mengiring." (Hadis Riwayat Bukhari) Di dalam hadis riwayat an-Nasa'i ada pertambahan lafaz,"Jika tidak mampu secara mengiring, solatlah sambil terlentang"

Di dalam hadis di atas jelas menunjukkan kepentingan solat sehinggakan kalau sakit sekalipun harus ditunaikan pada waktunya. Sekiranya kita dalam kesakitan yang amat pun tetap disuruh solat, dari mana timbulnya bahawa solat itu boleh di qada?

2) Solat jama' dan qasar.

Adalah Rasulullah s.a.w dalam peperangan Tabuk, apabila hendak berangkat sebelum tergelincir matahari, baginda mengakhirkan solat Zuhur sehingga dikumpulkan solat Zuhur kepada solat Asar dan lalu baginda mendirikan kedua-duanya serentak. Apabila baginda hendak berangkat selepas tergelincir matahari maka baginda bersolat Zuhur dan Asar serentak (dalam waktu Zuhur) kemudian baginda pun berangkat. Apabila baginda berangkat sebelum Maghrib maka baginda mengakhirkan solat Maghribnya sehingga disolatkan bersama solat Isyaknya dan apabila baginda berangkat selepas waktu Maghrib maka baginda mengawalkan solat Isyaknya lalu disolatkan bersama solat Maghrib (dalam waktu Maghrib). [Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, ad-Darimi, al-Baihaqi dan Ahmad]

Apabila kita hendak musafir telah diberikan rukhsoh kepada kita untuk menunaikan solat dengan solat jama' serta qasar. Tidak pula dinyatakan Rasulullah s.a.w apabila hendak bermusafir maka kita boleh meninggalkan solat dan mengqadakan solat itu setelah kita tiba di lokasi yang hendak dituju. Untuk bermusafir pun diberikan rukhsoh supaya solat itu tidak ditinggalkan maka dari mana pula datangnya qada solat?

3) Solat semasa peperangan / solat khauf.

"Dan apabila kamu berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu) lalu kamu hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri (solat) besertamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat besertamu) sujud (telah menyempurnakan satu rakaat), Maka hendaklah mereka pindah dari belakangmu (untuk menghadapi musuh) dan hendaklah datang golongan yang kedua yang belum solat, lalu solatlah mereka denganmu, dan hendaklah mereka bersiap sedia dan menyandang senjata. Orang-orang kafir ingin supaya kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu dengan sekaligus dan tidak ada dosa atasmu meletakkan senjata-senjatamu, jika kamu mendapat sesuatu kesusahan kerana hujan atau kerana kamu memang sakit; dan siap sedialah kamu. Sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang menghinakan bagi orang-orang kafir itu" (an-Nisa':102)

Ayat di atas jelas menunjukkan semasa peperangan pun kita tidak dikecualikan daripada solat. Di dalam ayat ini juga menunjukkan bahawa ALLAH telah memerintahkan kita supaya solat sambil menyandang senjata supaya sentiasa bersiap sedia ketika menghadapi musuh ALLAH. Jika semasa berperang sekalipun kita diperintahkan untuk menunaikan solat, di mana pula sebab-sebab yang membolehkan kita meninggalkan solat dan mengqadakan solat itu pada masa yang lain?

Kesimpulan

Rasanya dengan 3 dalil dan hujah yang dikemukakan di atas cukup untuk menjawab pertanyaan sahabat-sahabat berkenaan Qada Solat. Solat ini adalah perintah yang diberikan secara langsung (direct) kepada Rasulullah s.a.w semasa peristiwa Isra' dan Mikraj yang mana bermulanya dari 50 waktu sehingga diberi diskaun oleh Allah sehingga tinggal 5 waktu sahaja. Mengapa berat sangat untuk kita meluangkan masa selama 5 - 15 minit untuk menyahut seruan ALLAH sedangkan kalau majikan/bos kita memanggil kita untuk menghadapnya dengan pantas kita akan menurutnya. Apakah majikan/bos kita itu lebih besar daripada ALLAH sehinggakan kita lebih menurut panggilan daripada majikan/bos daripada menyahut panggilan ALLAH. Justeru untuk menghalalkan tindakan kita meninggalkan solat dikatakan pula bahawa solat yang ditinggalkan itu boleh pula diqada kan. Janganlah kita berbuat sesuatu tindakan atau mengeluarkan sesuatu hukum itu untuk menghalalkan tindakan kita.

Kerana terlalu percaya bahawa adanya qada dalam solat itulah yang menyebabkan umat-umat Islam sekarang ni memandang ringan kepada solat. Sy mengajak diri saya dan juga sahabat-sahabat yang lain, tunaikanlah hak solat iaitu bersolatlah tepat pada waktunya dengan penuh perasaan tawadhu' dan juga kusyuk. Diharap penjelasan ini dapat memuaskan hati sahabat-sahabat yang bertanya.

Sekiranya ada pendapat yang berbeza sila kemukakan bersama dalil-dalil yang ada dan InsyaALLAH sy akan berbincang dan bertukar-tukar pendapat dengan sahabat-sahabat yang lain.

Saturday, May 1, 2010

Mendirikan Solat Lima Waktu Sehari Semalam



Antara dalil-dalil yang berkaitan kewajipan solat adalah seperti berikut:

1) "Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk" (al-Baqarah:43)

2) "Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar" (al-Ankabut:45)

3) "Kemudian apabila kamu berasa tenteram berada dalam keadaan aman, dirikanlah solat itu dengan sempurna sebagaimana biasa. Seseungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya" (an-Nisa':103)

Sebagai seorang yang mengaku Islam, hendaklah kita mempelajari dan faham tentang apa itu solat dan cara-cara mengerjakannya. Solat ini adalah berkait rapat dengan ibadah-ibadah yang lain dan solat yang sebenar-benar solat akan mencegah kita daripada melakukan amalan-amalan yang keji dan mungkar. Apa yang akan saya terangkan di sini adalah pengertian solat, rukun solat, syarat sah solat dan perkara-perkara yang membatalkan solat.

Pengertian Solat

Solat dari segi bahasa bermaksud "doa memohon kebajikan dan pujian" berdasarkan penggunaan perkataan 'solat' oleh orang-orang Arab pada zaman sebelum kedatangan Islam lagi.

Saya tertarik untuk mendefinasikan solat menurut penerangan oleh Hasbi ash-Shiddieqy yang mana erti solat ini dibahagikan kepada 4 iaitu:

1) Suratus Solat: Rupa solat yang zahir sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak iaitu beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam.

2) Haqiqatus Solat: Rupa solat yang batin (Sir) iaitu menghadapkan jiwa kepada ALLAH, secara yang mendatangkan takut kepadaNya dan mewujudkan dalam jiwa rasa keagungan kebesaranNya dan kesempurnaan kekuasaanNya.

3) Ruhus Solat: Jiwa solat ataupun roh solat sebagaimana yang didefinasikan oleh ahli Ma'rifat: "Roh solat adalah mengaharapkan ALLAH dengan sepenuh jiwa, dengan segala kekusyukkan di hadapanNya dan ikhlas untukNya serta hadir hati dalam berzikir, berdoa dan memuji".

4) Pengertian yang melengkapkan rupa ataupun bentuk, hakikat dan jiwa solat ialah "Menghadapkan hati ataupun jiwa kepada ALLAH secara yang mendatangkan takut kepadaNya dan mewujudkan dalam jiwa rasa keagungan kebesaranNya dan kesempurnaan kekuasaanNya dengan sepenuh hati, kusyuk dan ikhlas dalam beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam"

Rukun Solat

Rukun Solat terdiri daripada 13 Rukun yang mana jika tidak ditunaikan maka tidaklah perbuatan itu digelarkan sebagai 'Solat'. Rukun-rukun solat adalah seperti berikut:

1) Berdiri betul
2) Niat
3) Takbiratul Ihram
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Rukuk dengan Tuma'ninah
6) Iktidal dengan Tuma'ninah
7) Sujud dengan Tuma'ninah
8) Duduk antara dua sujud dengan Tuma'ninah
9) Duduk tahiyat akhir
10) Membaca tahiyat akhir
11) Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dalam tahiyat akhir
12) Salam
13) Tertib

InsyaALLAH penerangan terhadap rukun-rukun solat ini akan diberikan kemudian.

Syarat Sah Solat

Syarat sah solat ialah syarat yang menentukan sesuatu kesahihan solat atau dalam erti kata lain sah atau tidak sesuatu solat itu bergantung kepadanya. Syarat sah solat terdiri daripada 5 perkara iaitu:

1) Suci daripada hadas kecil dan besar
2) Suci tubuh badan, pakaian dan tempat solat daripada sebarang najis
3) Mengetahui masuknya waktu solat samada dengan yakin ataupun jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenai masuknya waktu solat
4) Menghadap ke arah kiblat
5) Menutup aurat

Perkara Yang Membatalkan Solat

Solat seseorang itu adalah terbatal sekiranya membuat perkara-perkara seperti di bawah:

1) Berkata-kata dengan selain daripada ayat al-Quran
2) Melakukan perbuatan atau pergerakan melebihi 3 kali secara berturutan
3) Tidak membuat salah satu daripada rukun solat
4) Tidak membuat salah satu daripada syarat sah solat
5) Makan dan minum
6) Ketawa, berdehem, atau mengerang kesakitan dengan sengaja
7) Murtad walaupun bukannya secara hukmi

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

Friday, April 30, 2010

Qada Solat tu ada ke?


Lebih kurang pukul 9 lebih td ada seorang sahabat bertanya tentang Qada Solat... Sahabat tu tanya ada ke Qada-Qada Solat ni? Tadi dah pun jelaskan kat sahabat tu samada ada atau tidak qada solat tu... tapi nanti jika berkesempatan akan dijelaskan di sini InsyaALLAH...


*Jawapan Kepada Pertanyaan*

Sesat Dalam Rindu

Ku resah mencari Mu dengan akal
Dan bersama sifat-sifat pinjaman
Kau ku rasakan semakin menjauh
Tersesatlah aku dalam rindu

Ku satukan firasat mencari Mu
Dan ku terlontar di penghujung alam
Kau masih tidak dapat ku jejaki
Tersesatlah aku dalam rindu

Kerana Mu ku tinggalkan segalanya
Sendiri aku terpedaya
Punya akal dan firasat yang tidak ke mana
Hanya jalan yang sengsara

Zahir musnah bagi yang mimpi
Zahir ada rahsia menanti
Lalu ku selami di dalam diri
Di bawa arus nafasku
Asal serah janji dahulu
Mula hidup pasti mula cinta

*Damasutra*

Syarat Sah Syahadah

SYARAT SAH SHAHADAH EMPAT PERKARA

1. DiIKRARkan

2. DiIKTIQADkan

3. DiIKTIRAFkan

4. DiAMALkan

Ikrar
Ikrar akan keesaan Allah s.w.t dan Muhammad s.a.w itu Pesuruhnya.

Iktikad
Mempercayai atau meyakini bahawa hanya Allah s.w.t lah tuhan Yang Esa yang berhak disembah dan Nabi Muhammad s.a.w itu utusannya yang menyampaikan wahyu dari Allah s.w.t.

Iktiraf
Mengakui kebenaran keesaan Allah s.w.t dan mengakui kebenaran kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

Amal
Beramal dengan bersungguh-sungguh sebagai memenuhi akan tuntutan syahadah tanpa ragu-ragu, jemu, malas dan menunjuk-menunjuk. Amal dengan penuh ikhlas terhadap Allah s.w.t.

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

Rukun Syahadah

RUKUN SHAHADAH EMPAT PERKARA

1. Mengisbatkan Zatullah

2. Mengisbatkan Sifatullah

3. Mengisbatkan Af'al Allah.

4. Menetapkan kebenaran Rasulullah

1. Bagi mengisbatkan (menetapkan) zatullah itu ada (wujud), dan adaNya tidak berjirim dan berjisim, sedia (qidam), tiada permulaan dan kesudahan, tidak binasa, bersalahan bagi yang baru (mukhalafatuhu lil hawadith), tidak sama dengan wujud yang baru, ada dengan sendiriNya (qiyamuhu binafsihi), mustahil dia dijadikan, dan ada zatNya itu Esa (wahdaniyah), mustahil berbilang-bilang.

2. Mengisbatkan (menetapkan) sifat-sifat Allah hidup, berilmu, berkehendak, berkuasa, mendengar, melihat dan berkata-kata.

3. Mengisbatkan (menetapkan) af’al Allah iaitu segala kuasa pada sekelian kewujudan makhlukNya, tiada kerana dengan suatu kerana, tiada sebab dengan suatu sebab, tiada syarat dan mani’ yang menegahnya yakni berbuat Allah ta’ala dengan kehendakNya.

Di dalam kalimah syahadah ianya mengandungi 4 makna :

1. Tiada yang diabdikan dengan haq melainkan Allah
2. Tiada yang dituntut dengan haq melainkan Allah
3. Tiada yang dimaksudkan dengan haq melainkan Allah
4. Tiada yang ada dengan haq melainkan Allah

Keempat-empat makna tersebut hendaklah diketahui dengan terperinci yakni dengan jalan tafsil, dari seorang guru yang faham dan boleh menghuraikannya. Tanpa mengetahui, maka batallah syahadah seseorang itu, kerana tiada kesempurnaan pengetahuannya bagi melafazkan kalimah LA ILAHA ILLALLAH.

4. Mengisbatkan kebenaran Rasulullah atau hakikat rasul. Yang dikatakan hakikat rasul itu adalah 7 sifat ma’ani yang qadim, yang berasal daripada rohullah atau dinamakan juga nabiyullah yang menerima dan akan menyampaikan amanah daripada zat wajibal wujud yang bernama Allah. Kemudian, sifat ma’ani inilah yang menjadi kenyataan bagi sekalian makhluk khususnya manusia. Maka hendaklah disabitkan atau diserahkan kembali kepada zatullah yang empunya hidup (hayyun bizatihi), dan seterusnya hingga ke tujuh sifat tersebut sebagaimana yang dikehendaki maksud atau tujuan daripada kalimah syahadah. Dan di sini juga yang diertikan ‘maqam rasul’ kerana rasul juga tidak berkuasa, dia hanya menyampaikan amanah Allah dengan lafaz kalamnya LA ILAHA ILLALLAH. Dan sebaliknya jika tidak wujud rasul, maka tidak zahirlah kenyataan kalimah LA ILAHA ILLALLAH. Amanah Allah buka hanya tertentu semata-mata dipikul oleh nabi Muhammad sahaja, bahkan ianya dipikul oleh setiap manusia yang sanggup menerimanya, ketika alam roh sebelum dizahirkan ke dunia yang fana ini.


InsyaALLAH akan bersambung lagi.

Mengucap Dua Kalimah Syahadah



Di sini saya nyatakan secara ringkas sahaja. InsyaALLAH jika berkesempatan akan dihuraikan nanti.

RUKUN SHAHADAH EMPAT PERKARA

1. Mengisbatkan Zatullah

2. Mengisbatkan Sifatullah

3. Mengisbatkan Af'al Allah.

4. Menetapkan kebenaran Rasulullah


SYARAT SAH SHAHADAH EMPAT PERKARA

1. Diikrarkan

2. Diiktiqadkan

3. Diiktirafkan

4. Diamalkan


FARDHU SHAHADAH DUA PERKARA.

1. Ikrar dengan lidah

2. Tasdiq dengan hati


BINASA SHAHADAH EMPAT PERKARA.

1. Menduakan Allah.

2. Syak dalam hatinya.

3. Menyangkal dirinya dijadikan oleh Allah.

4. Tiada mengisbatkan Zatullah.

InsyaALLAH akan bersambung lagi

Rukun Islam

Islam itu didirikan atas 5 perkara:

*Mengucap dua kalimah syahadah*

*Mendirikan solat lima waktu sehari semalam*

*Berpuasa di bulan Ramadhan*

*Mengeluarkan zakat*

*Menunaikan haji bagi yang berkemampuan*

Wednesday, April 28, 2010

Tafsir Sufi dan Fadhilat 99 Asma' ul-Husna

*Imam al-Qusyairi*

Disusun oleh:
Ustaz Haji Mohamed bin Haji Ali




Buku ini adalah terjemahan kitab asal oleh Imam al-Qusyairi yang bertajuk *At-Ta'bir fit-Tadzkir*. Buku ini mengupas berkenaan dengan tafsiran Asma ul-Husna, Zikir-zikir yang menggunakan Asma ul-Husna dan juga fadhilat-fadhilat Asma ul-Husna.

Rahsia Air Mata Kusyuk

*Muhammad Hasan al-Basri*




Buku ini menceritakan hal-hal yang tersembunyi di sebalik titisan air mata kusyuk di kalangan mukmin samada melalui solat, zikir ataupun doa. Buku ini juga menjelaskan secara ringkas cara-cara untuk memperoleh 'kusyuk' dalam melaksanakan ibadat kepada ALLAH. Satu buku yang baik untuk menyempurnakan lagi solat, zikir mahupun doa kepada ALLAH.

Terima Kasih

Kerana kau KEKASIH
Bermunajat di sepertiga malam
Memohon wangi bunga
Di kaki Syurga

Bagi menyerikan perasaan
Bagi mendewasakan percintaan

Terima kasih
Kerana merantaiku dengan cinta
Kerana mengajarku erti bahagia
Menjadi manusia

Terima kasih
Kerana merantaiku dengan cinta
Kerana mengajarku erti bahagia
Menjadi manusia

Kerana kau KEKASIH
Bermunajat di sepertiga malam
Memohon wangi bunga
Di kaki Syurga

Bagi menyerikan perasaan
Bagi mendewasakan percintaan

*Loving Born*

Thursday, April 22, 2010

Wudhu'


PENGERTIAN WUDHU’,

Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu.

Dari segi syara‘, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.


HUKUM WUDHU’

Hukum wudhu’ adalah seperti berikut:

1) Wajib atau fardhu, iaitu ketika hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, ketika hendak melakukan tawaf Ka‘bah sama ada tawaf fardhu atau sunat, ketika hendak menyentuh Al-Qur’an dan sebagainya.

2) Sunat. Banyak perkara yang disunatkan berwudhu’, antaranya ialah untuk membaca atau mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca atau mendengar bacaan hadith, membawa kitab tafsir, kitab hadith atau kitab fiqh, melakukan azan, duduk di dalam masjid, melakukan tawaf di ‘Arafah, melakukan sa‘i, menziarahi makam Rasulullah, ketika hendak tidur, mengusung jenazah, malah disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’ dan memperbaharui wudhu’.

HIKMAH WUDHU’

Hikmah berwudhu’ ialah kerana anggota-anggota tersebut terdedah kepada kekotoran yang zahir seperti habuk, debu dan lain-lain serta banyak terdedah dengan dosa dan maksiat sama ada zahir atau batin.

FARDHU WUDHU’

1) Berniat ketika meratakan air ke seluruh muka. Niat wudu’ adalah seperti berikut:

Maksudnya:
“Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta‘ala”.

atau

Maksudnya:
“Sahaja aku berwudhu’ kerana Allah Ta‘ala”.

2) Membasuh muka. Had atau batasan muka yang wajib dibasuh adalah dari tempat tumbuh rambut di sebelah atas sehingga sampai kedua tulang dagu sebelah bawah dan lintangannya adalah dari anak telinga hingga ke anak telinga.

3) Membasuh dua tangan hingga dua siku. Bagi orang yang tiada siku disunatkan membasuh hujung anggota yang ada.

4) Menyapu sedikit kepala. Boleh disapu di ubun-ubun atau lain-lain bahagian rambut yang ada di dalam had atau kawasan kepala, tetapi yang utamanya adalah menyapu seluruh kepala.

5) Membasuh dua kaki hingga dua buku lali.

6) Tertib, iaitu melakukan perbuatan itu daripada yang pertama hingga akhir dengan teratur.

SYARAT-SYARAT WUDHU’

Terdapat dua syarat dalam wudhu’ iaitu syarat wajib dan syarat sah.

Syarat Wajib Wudhu’

1) Islam.

2) Baligh.

3) Berakal.

4) Mampu menggunakan air yang suci dan mencukupi.

5) Berlakunya hadath.

6) Suci daripada haidh dan nifas.

7) Kesempitan waktu. Wudhu’ tidak diwajibkan ketika waktu yang panjang tetapi diwajibkan ketika kesempitan waktu.

Syarat Sah Wudhu’

1) Meratakan air yang suci ke atas kulit, iaitu perbuatan meratakan air pada seluruh anggota yang dibasuh hingga tiada bahagian yang tertinggal.

2) Menghilangkan apa sahaja yang menghalang sampainya air ke anggota wudhu’.

3) Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu’ seperti darah haidh, nifas, air kencing dan seumpamanya.

4) Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berterusan dalam keadaan hadath seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas.

Selain itu, terdapat beberapa syarat wudhu’ mengikut ulama’ mazhab Syafi‘i, iaitu:

1) Islam.

2) Mumayyiz.

3) Suci daripada haidh dan nifas.

4) Bersih daripada apa sahaja yang boleh menghalang sampainya air ke kulit.

5) Mengetahui kefardhuan wudhu’.

6) Tidak menganggap sesuatu yang fardhu di dalam wudhu’ sebagai sunat.

7) Menghilangkan najis ‘aini yang terdapat pada badan dan pakaian orang yang berwudhu’.

8) Tidak terdapat pada anggota wudhu’ bahan yang mengubahkan air.

9) Tidak mengaitkan (ta‘liq) niat berwudhu’ dengan sesuatu.

10) Mengalirkan air ke atas anggota wudhu’.

11) Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berhadath berterusan.

12) Muwalat, iaitu berturutan.

SUNAT WUDHU’

Perkara sunat ketika berwudhu’ adalah sangat banyak, di antaranya ialah:

1) Membaca “basmalah” iaitu lafaz

2) Membasuh dua tapak tangan hingga pergelangan tangan.

3) Berkumur-kumur.

4) Memasukkan air ke dalam hidung.

5) Menyapu seluruh kepala.

6) Menyapu dua telinga.

7) Menyelati janggut yang tebal.

8) Mendahulukan anggota yang kanan daripada yang kiri.

9) Menyelati celah-celah anak jari tangan dan kaki.

10) Melebihkan basuhan tangan dan kaki dari had yang wajib.

11) Mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali.

12) Berturut-turut iaitu tidak berselang dengan perceraian yang lama di antara satu anggota dengan anggota yang lain yang menyebabkan anggota itu kering.

13) Menggosok anggota wudhu’ supaya lebih bersih.

14) Bersugi dengan sesuatu yang kesat.

15) Menghadap qiblat.

16) Membaca doa selepas berwudhu’, iaitu:

Maksudnya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa dan tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hambaNya dan RasulNya. Wahai Tuhanku, jadikan aku dari golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikan aku dari golongan orang-orang yang bersih.”

PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU’

1) Keluar sesuatu daripada lubang dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi atau air wadi dan sebagainya melainkan air mani sendiri kerana apabila keluar mani diwajibkan mandi.

2) Tidur yang tidak tetap punggungnya, kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung ke tempat duduk.

3) Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, sakit, pengsan atau pitam kerana apabila hilang akal, seseorang itu tidak mengetahui keadaan dirinya.

4) Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang halal nikah atau ajnabiyyah (bukan mahram) walaupun telah mati.

5) Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur manusia) dengan perut tapak tangan walaupun kemaluan sendiri.

6) Murtad iaitu keluar dari agama Islam.

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

Wednesday, April 21, 2010

Di Penghujung Rindu

Bila KEKASIH mengundang aku pulang
Mahligai menanti penuh gemilang

Bila KEKASIH menyingkap tabir cinta
Tiada terbatas dengan kata-kata

Dapatkah aku membalas dengan air mata
Tanda syukur menerima setelah sekian lama
Menghamba hidup pada dunia

Seribu tahun takkan sama
Sesaat bersatu dalam nyata
Kerna kasih ku sanggup korbankan
Jasad dan nyawa

Terang bulan kerana mentari
Hadir bayang kerana cahaya
Begitulah cinta kita

Tiada jarak pemisah lagi
Tiada garis sempadan budi
Aku terima dan jua memberi
Seikhlas hati

Seribu tahun dan sejuta langkah
Seribu tahun bersinar cinta
Kita bertemu di penghujung rindu

*Jamal Abdillah*

Mandi Junub




Pengertian

Mandi junub adalah mandi wajib untuk membersihkan diri dari hadas besar dengan mengalirkan air ke seluruh bahagian tubuh. Jika tidak mandi junub sementara kita dalam keadaan junub, maka solat kita tidak sah.

Sebab mandi junub :

1) Keluarnya mani, samada kerana syahwat atau kerana sebab yang lainnya. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sabda baginda sebagai berikut :

Dari Abi Sa’id Al Khudri dari Nabi Muhammad s.a.w, bahawa baginda bersabda : “Hanyalah air itu (yakni mandi) adalah kerana air pula (yakni kerana keluar air mani)”. HR. Muslim dalam Shahihnya.

Dalam menerangkan hadis ini Al Imam Abu Zakaria Muhyiddin bin Syaraf An Nawawi menyatakan : “Dan maknanya ialah : Tidak wajib mandi dengan air, kecuali bila telah keluarnya air yang kental, iaitu mani”.

2) Berhubungan seks, baik keluar mani atau tidak keluar mani. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan Nabi Muhammad s.a.w dalam sabdanya sebagai berikut :

Dari Abi Hurairah r.a, dari Nabi Muhammad s.a.w, bahawa beliau bersabda : “Apabila seorang lelaki telah duduk di antara empat bahagian tubuh perempuan (yakni berhubungan seks) kemudian dia bersungguh-sungguh padanya (yakni memasukkan kemaluannya pada kemaluan perempuan itu), maka sesungguhnya dia telah wajib mandi kerananya”. HR. Bukhari dalam Shahihnya.

3) Berhentinya haid dan nifas.

4) Mati dalam keadaan Muslim, maka yang hidup wajib memandikannya.

Cara menunaikan mandi junub :

Kerana menunaikan mandi junub itu adalah termasuk ibadah kepada Allah Ta’ala, maka disamping harus dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata, juga harus pula dilaksanakan dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam hal ini terdapat beberapa riwayat yang menceritakan beberapa cara mandi junub tersebut. Riwayat-riwayat itu adalah sebagai berikut :

1) “Dari Ali bin Abi Thalib, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : Barangsiapa yang meningggalkan bahagian tubuh yang harus dialiri air dalam mandi junub walaupun satu rambut untuk tidak dibasuh dengan air mandi itu, maka akan diperlakukan kepadanya demikian dan demikian dari api neraka”. HR. Abu Daud dalam Sunannya hadis ke 249 dan Ibnu Majah dalam Sunannya hadis ke 599. Dan Ibnu Hajar Al Asqalani menshahihkan hadis ini dalam Talkhishul Habir jilid 1 halaman 249.

Dengan demikian kita harus meratakan air ketika mandi junub ke seluruh tubuh dengan hati-hati sehingga dilakukan penyiraman air ke tubuh kita itu berkali-kali dan rata.

2) “Dari A’isyah r.a beliau menyatakan : Kebiasaannya Rasulullah s.a.w apabila mandi junub, baginda memulai dengan mencuci kedua telapak tangannya, kemudian baginda berwudhu’ seperti wudhu’ baginda untuk solat, kemudian baginda memasukkan jari jemari baginda ke dalam air, sehingga baginda menyilang-nyilang dengan jari jemari itu rambut baginda, kemudian baginda mengalirkan air ke seluruh tubuh baginda”. HR. Al Bukhari dalam Shahihnya hadis nombor 248 (Fathul Bari) dan Muslim dalam Shahihnya hadis ke 316. Dalam riwayat Muslim ada tambahan lafaz berbunyi demikian : “Kemudian baginda mengalirkan air ke seluruh tubuhnya, kemudian mencuci kedua telapak kakinya”.

Jadi dalam mandi junubnya Rasulullah s.a.w, beliau memasukkan air ke sela-sela rambut baginda dengan jari-jemari baginda. Ini adalah untuk memastikan ratanya air mandi junub itu sampai ke kulit yang ada di balik rambut yang tumbuh di atasnya. Sehingga air mandi junub itu benar-benar mengalir ke seluruh kulit tubuh.

3) “Maimunah Ummul Mu’minin menceritakan : Aku dekatkan kepada Rasulullah s.a.w air mandi baginda untuk janabat. Maka baginda mencuci kedua telapak tangan baginda dua kali atau tiga kali, kemudian baginda memasukkan kedua tangan baginda ke dalam bejana air itu, kemudian baginda mengambil air dari padanya dengan kedua telapak tangan itu untuk kemaluannya dan baginda mencucinya dengan telapak tangan kiri baginda, kemudian setelah itu baginda memukulkan telapak tangan baginda yang kiri itu ke lantai dan menggosoknya dengan lantai itu dengan sekeras-kerasnya. Kemudian setelah itu baginda berwudhu’ dengan cara wudhu’ yang dilakukan untuk solat. Setelah itu baginda menuangkan air ke atas kepalanya tiga kali tuangan dengan sepenuh telapak tangannya. Kemudian baginda membasuh seluruh bahagian tubuhnya. Kemudian baginda bergeser dari tempatnya sehingga baginda mencuci kedua telapak kakinya, kemudian aku bawakan kepada baginda kain handuk, namun baginda menolaknya”. HR. Muslim dalam Shahihnya hadis ke 317 dari Ibnu Abbas.

Dari hadis ini, menunjukkan bahawa setelah membasuh kedua telapak tangan sebagai permulaan amalan mandi junub, maka membasuh kemaluan sampai bersih dengan telapak tangan sebelah kiri dan setelah itu telapak tangan kiri itu digosokkan ke lantai dan baru mulai berwudhu’. Juga dalam riwayat ini ditunjukkan bahwa setelah mandi junub itu, sunnahnya tidak mengeringkan badan dengan kain handuk.

4) “Dari Maimun (isteri Rasulullah s.a.w), beliau memberitakan bahawa Nabi s.a.w ketika mandi junub, baginda mencuci kemaluannya dengan tangannya, kemudian tangannya itu digosokkan ke tembok, kemudian setelah itu baginda mencuci tangannya itu, kemudian baginda berwudhu’ seperti cara wudhu’ baginda untuk solat. Maka ketika baginda telah selesai dari mandinya, baginda membasuh kedua telapak kakinya”. HR. Bukhari dalam Shahihnya, hadis ke 260.

Dari hadis ini, menunjukkan bahawa menggosokkan telapak tangan kiri setelah mencuci kemaluan dengannya, boleh juga menggosokkannya ke tembok dan tidak semestinya ke lantai. Juga dalam hadis ini diterangkan bahawa setelah menggosokkan tangan ke tembok itu, tangan tersebut dicuci, baru kemudian berwudhu’.

Kesimpulan

Dari berbagai riwayat tersebut di atas kita dapat simpulkan, bahwa cara mandi junub itu adalah sebagai berikut :

1) Mandi junub harus diniatkan ikhlas semata kerana Allah Ta’ala dalam rangka mentaatiNya dan beribadah kepadaNya semata.

2) Dalam mandi junub, harus dipastikan bahawa air telah mengenai seluruh tubuh sampai kulit yang ada di balik rambut yang tumbuh di manapun di seluruh tubuh kita. Kerana itu siraman air itu harus pula dibantu dengan jari jemari tangan yang mengalirkan air itu ke bahagian tubuh yang paling tersembunyi sekalipun.

3) Mandi junub dimulai dengan membasuh kedua telapak tangan sampai pergelangan tangan, masing-masing tiga kali dan cara membasuhnya dengan menyiram kedua telapak tangan itu dengan air yang diambil dengan gayung. Dan bukannya dengan mencelupkan kedua telapak tangan itu ke dalam air.

4) Setelah itu mengambil air dengan telapak tangan untuk mencuci kemaluan dengan telapak tangan kiri sehingga bersih.

5) Kemudian telapak tangan kiri itu digosokkan ke lantai atau ke tembok sebanyak tiga kali. Dan setelah itu dibasuh dengan air.

6) Setelah itu berwudhu’ sebagaimana cara berwudhu’ untuk solat.

7) Kemudian menyiram air dari kepala ke seluruh tubuh dan menyilang-nyilangkan air dengan jari tangan ke sela-sela rambut kepala dan janggut, misai serta rambut mana saja di tubuh kita sehingga air itu rata mengenai seluruh tubuh.

8) Kemudian bila diyakini bahawa air telah mengenai seluruh tubuh, maka mandi itu diakhiri dengan membasuh kedua telapak kaki sampai buku lali kaki.

9) Disunnahkan untuk tidak mengeringkan badan dengan kain handuk (tuala) atau kain apa pun untuk mengeringkan badan itu.

10) Disunnahkan untuk melaksanakan mandi junub itu dengan tertib seperti yang dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Demikianlah cara mandi junub yang benar sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan juga telah dibuat oleh baginda. Semoga dengan kita menunaikan ilmu ini, amalan ibadah solat kita akan diterima oleh Allah Ta’ala kerana kita telah suci dari junub atau hadas besar.

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

Bersugi


Pengertian bersugi

Bersugi adalah perbuatan membersihkan mulut dan gigi.

Alat-alat bersugi

• Berus gigi dan ubatnya yang suci.

• Mayang kelapa.

• Sabut.

• Kayu.

• Apa sahaja yang kesat yang boleh membersihkan gigi.

Hukum Bersugi

Hukum bersugi adalah sunat sepanjang masa.

Waktu-waktu dituntut bersugi

• Ketika hendak membaca Al-quran.

• Hendak mengerjakan solat.

• Ketika perubahan bau mulut.

• Bangun dari tidur.

• Hendak tidur.

• Gigi menjadi kuning.

• Ketika hendak berwuduk.

• Ketika hendak berzikir.

• Ketika hendak memasuki kaabah.

• Hendak masuk rumah selepas berjalan.

• Ketika lapar dan dahaga.

• Ketika hendak mati.

• Hendak musafir atau balik dari musafir.

Makruh bersugi

Orang yang berpuasa tak kira sama ada puasa fardu (Ramadan) atau puasa sunat selepas gelincir matahari, iaitu selepas masuk waktu zuhur.

Cara-cara bersugi

• Menggunakan tangan kanan.

• Memulakan daripada sebelah kanan mulut.

• Gosok langit-langit mulut dengan perlahan-lahan.

• Gosok bahagian gusi dan gigi dengan perlahan-lahan.

• Hilangkan lendir-lendir yang ada pada lidah dengan menggunakan alat-alat tertentu.

Kelebihan Bersugi

• Solat dengan bersugi lebih baik daripada 70 rakaat solat yang tidak bersugi.

• Menyucikan mulut dan gigi.

• Mendapat keredaan Allah.

• Mencergaskan otak.

• Mencerahkan mata.

• Melambatkan tumbuh uban.

• Mengurangkan bongkok dan sakit buah pinggang.

• Melipatgandakan pahala.

• Mengingatkan dua kalimah shahadat ketika hampir mati


InsyaALLAH akan bersambung lagi.

Qada Hajat dan Adab-adabnya


Qada Hajat atau Buang Air terbahagi kepada tiga hukum:

1) Cara yang haram.

2) Cara yang makruh.

3) Cara yang sunat.

Cara Qada Hajat yang diharamkan

1) Membawa bersama sesuatu yang bertulis ayat-ayat quran, hadis atau nama-nama para rasul ketika qada hajat.

2) Menghadap atau membelakangkan kiblat ketika qada hajat di tempat lapang. Sekiranya qada hajat di tempat yang berdinding maka tidaklah diharamkan.

3) Membuang air besar atau kecil dalam lubang yang diketahui di dalamnya ada haiwan.

4) Qada hajat di atas kubur.

5) Membuang air di tempat ibadah seperti di surau, masjid, musalla dan sebagainya.

6) Membuang air di atas kitab-kitab agama .

7) Membuang air di atas makanan.

8) Membuang air di tempat perhentian orang ramai atau di jalan raya.

Cara Qada Hajat Yang Dimakruhkan

1) Membuang air sambil berdiri kecuali dengan keuzuran atau darurat yang tidak membolehkan seseorang itu duduk seperti disebabkan sakit.

2) Bercakap-cakap ketika buang air pada perkara yang tidak penting, kecuali dalam keadaan darurat.

3) Membuang air di dalam lubang yang tidak diketahui di dalamnya ada binatang atau tidak.

4) Membuang air di bawah pokok buah-buahan

5) Membuang air dalam air tenang yang tidak mengalir.

6) Membuang air berhampiran dengan kawasan perkuburan.

Cara-cara Qada Hajat Yang disunatkan

1) Membuang air di tempat terselindung dari orang ramai seperti di dalam tandas atau di sebalik batu.

2) Memulakan masuk ke dalam taandas dengan menggunakan kaki kiri.

3) Ketika hendak masuk, baca doa ini:

Ertinya : "Wahai Tuhanku, aku berlindung pada-Mu dari kejahatan syaitan jantan dan betina."

4) Memakai alas kaki seperti selipar dan kasut ketika masuk tandas.

5) Memakai penutup kepala seperti tudung, semutar dan sebagainya ketika qada hajat.

6) Beristibak, iaitu berdehem-dehem supaya najis habis keluar.

7) Ketika keluar dari tandas, mulai langkah kaki kanan dahulu.

8) Ketika keluar dari tandas, membaca doa ini.

Ertinya: "Wahai Tuhanku, hilangkan dariku segala kekotoran dan beri kesihatan kepadaku."

Hal-hal yang harus dilakukan sebelum buang air

1) Hendaklah mencari tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang (kiranya tidak menggunakan tandas).

2) Jangan memasuki tandas atau tempat buang air dengan membawa sesuatu yang ada kalimah Allah.

3) Jangan membuka pakaian sebelum berada dekat tempat buang air, ini adalah bagi mempastikan agar aurat tetap terjaga sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh hukum syariat.

4) Mendahulukan kaki kiri waktu masuk ke tandas dan disunatkan berdoa:

"Ya Allah! hamba berlindung pada-Mu dari segala yang kotor dan keji"

5) Janganlah buang air dengan menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya, jika sekiranya di tempat-tempat yang tidak berdinding..

6) Jangan membuang air besar atau air kecil (berak atau kencing) di tempat orang biasa berteduh, di jalan-jalan, di tempat mandian atau di bawah pokok yang berbuah.

7) Janganlah bercakap-cakap sewaktu buang air.

Adab buang air

1) Sunat mendahulukan kaki kiri ketika masuk ke tandas, dan mendahulukan kaki kanan ketika keluar.

2) Jangan membawa sesuatu kalimah Al-Quran, atau hadis atau zikrullah ke dalam tandas.

3) Hendak memakai sepatu atau terompah atau seumpamanya.

4) hendaklah jauh dari orang sehingga bau kotoran tidak sampai kepadanya.

5) Janganlah berkata-kata selama dalam tandas itu, kecuali apabila ada keperluan yang sangat penting yang tidak dapat ditangguhkan.

6) Jangan buang air di air yang tenang, kecuali jika air tenang itu terbentang luas seperti tasik yang luas atau laut.

7) Jangan buang air di lubang tanah, kerana kemungkinan ada binatang yang mendapat kesakitan di dalam lubang itu.

8) Jangan membuang air di atas kubur.

9) Jangan membuang air besar atau kecil di tempat-tempat beribadat seperti masjid, surau dan sebagainya (Kecuali di tandas-tandas yang telah disediakan di tempat-tempat ibadat tersebut).

10) Jangan membuang air di atas kitab-kitab agama atau di atas makanan.

11) Jangan buang air di mana-mana tempat perhentian.

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

Istinjak

Pengertian Istinjak

Istinjak Ialah menghilangkan najis kecil atau besar dari tempat keluarnya dengan sesuatu yang bersih seperti air, batu, kertas dan sebagainya sehingga kesan najis itu dibersihkan.
Apabila keluar kotoran dari salah satu, iaitu dari qubul atau dubur, wajib istinjak dengan menggunakan air atau dengan tiga ketul batu.

Hukum Istinjak

Beristinjak adalah hukumnya wajib berdasarkan Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
Bahawa Nabi (SAW) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat-gumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil.
(Hadis Riwayat; Bukhari dan Muslim)

Syarat-syarat Istinjak


1) Menghilangkan rasanya.
2) Menghilangkan baunya.
3) Menghilangkan warnanya.

Rukun Istinjak

1) Islam.
2) Alat untuk istinjak. Dengan menggunakan air, batu, kertas atau seumpamanya.
3) Tempat yang diistinjak iaitu qubul dan dubur.
4) Yang diistinjakkan itu sesuatu yang keluar daripada dua jalan iaitu qubul atau dubur.

Cara mengerjakan Istinjak

1) Istinjak itu 3 kali dan kalau masih belum suci, boleh diulang lagi sehingga suci.
2) Alat dibuat istinjak itu mestilah melingkupi tempat yang disapu itu.
3) Beristinjak itu mestilah dapat membersihkan tempat najis yang keluar.

Cara beristinjak dengan Air (Air Mutlak)

1) Tuangkan air dengan menggunakan tangan kanan di atas tempat najis.
2) Gosok tempat najis dengan menggunakan jari tengah tangan kiri.
3) Makruh memasukkan jari ke dalam dubur.
4) Bagi perempuan yang dara semasa beristinjak hendaklah membasuh benda yang zahir pada farajnya ketika ia duduk mencangkung dengan memasukkan sedikit ruas jarinya.*
5) Mendahulukan istinjak pada qubul daripada dubur supaya tidak terpercik najis padanya ketika membasuh dubur.
6) Sunat selepas intinjak menggosak tangan ke tanah sebelum membasuh tangan.
7) Sunat ketika intinjak membaca doa :
Ertinya ; "Ya Allah, sucikanlah hatiku daripada sifat nifak dan peliharakanlah kemaluan aku daripada kejahatan."
8) Tidak sunat mencium tangan selepas istinjak.
9) Hendaklah hilang ain najis, warna dan rasanya (rasa di tangan). Jika sukar menghilangkan baunya atau warnanya selepas digosak dan dibasuh beberapa kali maka ianya dimaafkan. Bagi memastikan najis telah suci memadai bila merasai kesat pada kulit dubur lelaki dan licin bagi perempuan.*

Cara yang baik dilakukan istinjak ialah dengan menggunakan air, tetapi harus juga dilakukan dengan benda-benda kesat yang suci dengan syarat.

1) Benda itu mesti kering sama ada kayu, batu, daun dan lain-lain. Kalau ia basah, maka tidak boleh digunakan.
2) Benda itu mesti kesat. Kalau kering tetapi licin maka tidak sah untuk istinjak seperti kertas atau plastik atau belakang buluh.
3) Benda itu bukan benda yang dihormati seperti makanan, pakaian, tulang atau seumpamanya.
4) Bukan benda-benda yang bertulis dengan ayat-ayat al-quran, hadis dan seumpamanya. Sekiranya ada , berdosa menggunakannya.
5) Najis yang keluar tidak melecer ke tempat lain. Sekiranya ia melecer ke tempat lain maka air diperlukan untuk beristinjak.
6) Hendaklah dihilangkan najis itu sekurang-kurangnya dengan tiga ketul batu ataupun dengan sebiji batu tiga persegi. Sekiranya masih tidak suci, hendaklah ditambah batu sehingga suci.

Cara Beristinjak dengan menggunakan batu pada dubur


1) Sunat dimulai dengan menyapu yang pertama pada bahagian hadapan papan punggung yang kanan lalu diedarkan pada tempat permulaan sapuan.
2) Kemudian mulakan sapuan yang kedua pada bahagian hadapan papan punggung kiri lalu diedarkan kepada tempat permulaan yang disapu.
3) Sapuan yang ketiga pada hujung dubur atau qubul.
4) Sunat ketika menyapu dimulai pada tempat yang suci ke tempat yang ada najis secara perlahan-lahan.
5) Sunat istinjak dengan batu, dahulukan istinjak pada dubur kerana najis pada dubur lebih dahulu kering daripada qubul. Jika najis telah kering, wajib menggunakan air.

Cara Istinjak Dengan Batu Pada Qubul ( Zakar atau Faraj)

Disapu di tiga tempat pada batu besar atau tiga ketul batu. Jika diulang-ulang di tempat yang sama dengan satu batu, maka wajib beristinjak dengan menggunakan air.

Hal-hal yang perlu diperhatikan ketika insinjak

1) Jangan bersuci dengan tulang, makanan atau tahi kering.
2) Jangan bersuci dengan menggunakan tangan kanan atau memegang zakar dengan tangan kanan.
3) Hendaklah bersuci dengan batu dalam bilangan ganjil, seperti tiga ketul batu, lima ketul batu dan sebagainya.
4) Bila bersuci dengan air dan batu, hendaklah menggunakan batu terlebih dahulu, kemudian dengan air, bila memilih salah satu, pilihlah air kerana air lebih baik digunakan untuk bersuci.

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

Bersuci

“Sesunguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan yang suka menyucikan diri " (Al Baqarah : 222)

Saudaraku sekalian,

Dari ayat di atas jelaslah bahawa ALLAH amat menyukai orang-orang yang bertaubat dan juga mereka yang MENYUCIKAN DIRI. Untuk menyucikan diri ada beberapa perkara yang perlu kita tahu dan faham iaitu:

1) Jenis-jenis bersuci.
2) Jenis-jenis najis.
3) Jenis-jenis air.

Terdapat 3 jenis bersuci iaitu

1) Bersuci dari hadas kecil.
Apabila kita berada dalam keadaan hadas kecil, kita dilarang mengerjakan solat dan menyentuh al-Quran.Cara untuk bersuci ialah dengan mengambil wudhu'.

2) Bersuci dari hadas besar.
Apabila kita dalam keadaan hadas besar, solat, puasa, menunaikan haji, iktikaf di masjid dan menyentuh atau membaca al-Quran. Cara untuk bersuci alah dengan mandi junub (mandi wajib).

3) Istinjak
Bertujuan bagi menghilangkan najis yang keluar dari dua saluran iaitu qubul dan dubur.

Terdapat 3 jenis najis dalam Islam yang mana pembahagiannya adalah seperti berikut:

1) Najis Mukhaffafah
Hanya satu iaitu air kencing anak lelaki yang berumur kurang 2 tahun dan tidak minum atau makan selain dari susu ibunya sahaja. Cara menyucikan najis ini ialah dengan merenjis air pada tempat yang terkena najis dan lapkan sahaja.

2) Najis Mughallazah
Terdapat dua iaitu anjing dan babi serta segala anggota tubuhnya. Cara menyucikan ialah dengan dengan menyiram sekali air tanah atau lumpur dan dibilas 6 kali dengan air yang bersih.

3) Najis Mutawasitah
Ialah najis selain daripada 2 najis di atas. Cara penyuciannya terbahagi kepada dua:
(i)Hikmiah adalah najis yang kita yakini adanya tetapi tidak nyata zatnya seperti air kencing yang sudah lama kering hinggakan sifatnya sudah hilang.Najis ini disucikan dengan mengalirkan air ke atasnya.
(ii)'Ainah adalah najis yang dicuci dengan menghilangkan dan membersihkan semua zatnya.

Jenis-jenis air terbahagi kepada 5 iaitu:

1) Air Mutlak.
Air yang suci lagi menyucikan. Air ini boleh digunakan untuk bersuci dan juga mengambil wudhu'.

2) Air Musta'mal
Air yang suci tapi tidak menyucikan contohnya air kopi, teh, kelapa, tebu dll. Air seperti ini boleh diminum tetapi tidak boleh digunakan untuk bersuci.

3) Air Muqaiyyad
Air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya sama ada dari segi warna, bau atau rasa yang menyebabkan air tersebut tidak dipanggil air mutlak lagi contohnya air mutlak yang telah bercampaur dengan air musta'mal. Air ini juga tidak boleh digunakan untuk bersuci.

4) Air Musyammas
Air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh menggunakannya. Musyammas ialah air yang disimpan di dalam bekas logam dan terdedah kepada panas matahari. Air yang sedang panas itu makruh hukumnya digunakan untuk berwuduk dan bersuci daripada hadas.

5) Air Mutanajjis
Air yang telah terjatuh najis ke dalamnya sehingga berubah warna, bau atau rasa walaupun jika dicampur hingga kadar dua kolah. Tidak suci, tidak boleh diminum dan tidak boleh dibuat bersuci.

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Bismillahirrahmanirrahim

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah yang beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-'Alaq: 1-5)

Saudaraku sekalian,

Penurunan wahyu pertama kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w bermula dengan surah al-'Alaq yang bermaksud "Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan...." dan diperkukuhkan dengan ayat seterusnya ... dan Tuhanmu yang Maha Mulia yang mengajarkan dengan pena..." surah ini jelas menyatakan supaya orang-orang Islam membaca, kerana dengan membacalah bermulanya segala jenis ilmu pengetahuan baik yang ke arah dunia ataupun akhirat.

Saudaraku sekalian,

Hati ini telah tergerak untuk membuka satu lembaran bagi berkongsi ilmu sekadar yang ada kerana sesungguhnya aku sangat kasihkan saudara-saudaraku yang masih terlena di ulit dengan kemewahan dunia. InsyaALLAH akan ku sampaikan semudah mungkin supaya dapat difahami dan diamalkan dalam perjalanan menuju keredhaan ALLAH.

Saudaraku sekalian,

Sekiranya ada kemusykilan terhadap apa-apa perkara bolehlah diajukan, sekiranya dapat akan dijawab dengan sebaik mungkin sekiranya tidak sama-samalah kita mencari jawapan bagi persoalan tersebut. InsyaALLAH niat yang baik ini akan dibantu oleh ALLAH.

Setakat ini saja dulu mukaddimah dari insan kerdil ini. Semoga kita bertemu kembali InsyaALLAH.

Assalamualaikum w.b.t