Friday, April 30, 2010
Qada Solat tu ada ke?
Lebih kurang pukul 9 lebih td ada seorang sahabat bertanya tentang Qada Solat... Sahabat tu tanya ada ke Qada-Qada Solat ni? Tadi dah pun jelaskan kat sahabat tu samada ada atau tidak qada solat tu... tapi nanti jika berkesempatan akan dijelaskan di sini InsyaALLAH...
*Jawapan Kepada Pertanyaan*
Sesat Dalam Rindu
Dan bersama sifat-sifat pinjaman
Kau ku rasakan semakin menjauh
Tersesatlah aku dalam rindu
Ku satukan firasat mencari Mu
Dan ku terlontar di penghujung alam
Kau masih tidak dapat ku jejaki
Tersesatlah aku dalam rindu
Kerana Mu ku tinggalkan segalanya
Sendiri aku terpedaya
Punya akal dan firasat yang tidak ke mana
Hanya jalan yang sengsara
Zahir musnah bagi yang mimpi
Zahir ada rahsia menanti
Lalu ku selami di dalam diri
Di bawa arus nafasku
Asal serah janji dahulu
Mula hidup pasti mula cinta
*Damasutra*
Syarat Sah Syahadah
1. DiIKRARkan
2. DiIKTIQADkan
3. DiIKTIRAFkan
4. DiAMALkan
Ikrar
Ikrar akan keesaan Allah s.w.t dan Muhammad s.a.w itu Pesuruhnya.
Iktikad
Mempercayai atau meyakini bahawa hanya Allah s.w.t lah tuhan Yang Esa yang berhak disembah dan Nabi Muhammad s.a.w itu utusannya yang menyampaikan wahyu dari Allah s.w.t.
Iktiraf
Mengakui kebenaran keesaan Allah s.w.t dan mengakui kebenaran kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
Amal
Beramal dengan bersungguh-sungguh sebagai memenuhi akan tuntutan syahadah tanpa ragu-ragu, jemu, malas dan menunjuk-menunjuk. Amal dengan penuh ikhlas terhadap Allah s.w.t.
InsyaALLAH akan bersambung lagi.
Rukun Syahadah
1. Mengisbatkan Zatullah
2. Mengisbatkan Sifatullah
3. Mengisbatkan Af'al Allah.
4. Menetapkan kebenaran Rasulullah
1. Bagi mengisbatkan (menetapkan) zatullah itu ada (wujud), dan adaNya tidak berjirim dan berjisim, sedia (qidam), tiada permulaan dan kesudahan, tidak binasa, bersalahan bagi yang baru (mukhalafatuhu lil hawadith), tidak sama dengan wujud yang baru, ada dengan sendiriNya (qiyamuhu binafsihi), mustahil dia dijadikan, dan ada zatNya itu Esa (wahdaniyah), mustahil berbilang-bilang.
2. Mengisbatkan (menetapkan) sifat-sifat Allah hidup, berilmu, berkehendak, berkuasa, mendengar, melihat dan berkata-kata.
3. Mengisbatkan (menetapkan) af’al Allah iaitu segala kuasa pada sekelian kewujudan makhlukNya, tiada kerana dengan suatu kerana, tiada sebab dengan suatu sebab, tiada syarat dan mani’ yang menegahnya yakni berbuat Allah ta’ala dengan kehendakNya.
Di dalam kalimah syahadah ianya mengandungi 4 makna :
1. Tiada yang diabdikan dengan haq melainkan Allah
2. Tiada yang dituntut dengan haq melainkan Allah
3. Tiada yang dimaksudkan dengan haq melainkan Allah
4. Tiada yang ada dengan haq melainkan Allah
Keempat-empat makna tersebut hendaklah diketahui dengan terperinci yakni dengan jalan tafsil, dari seorang guru yang faham dan boleh menghuraikannya. Tanpa mengetahui, maka batallah syahadah seseorang itu, kerana tiada kesempurnaan pengetahuannya bagi melafazkan kalimah LA ILAHA ILLALLAH.
4. Mengisbatkan kebenaran Rasulullah atau hakikat rasul. Yang dikatakan hakikat rasul itu adalah 7 sifat ma’ani yang qadim, yang berasal daripada rohullah atau dinamakan juga nabiyullah yang menerima dan akan menyampaikan amanah daripada zat wajibal wujud yang bernama Allah. Kemudian, sifat ma’ani inilah yang menjadi kenyataan bagi sekalian makhluk khususnya manusia. Maka hendaklah disabitkan atau diserahkan kembali kepada zatullah yang empunya hidup (hayyun bizatihi), dan seterusnya hingga ke tujuh sifat tersebut sebagaimana yang dikehendaki maksud atau tujuan daripada kalimah syahadah. Dan di sini juga yang diertikan ‘maqam rasul’ kerana rasul juga tidak berkuasa, dia hanya menyampaikan amanah Allah dengan lafaz kalamnya LA ILAHA ILLALLAH. Dan sebaliknya jika tidak wujud rasul, maka tidak zahirlah kenyataan kalimah LA ILAHA ILLALLAH. Amanah Allah buka hanya tertentu semata-mata dipikul oleh nabi Muhammad sahaja, bahkan ianya dipikul oleh setiap manusia yang sanggup menerimanya, ketika alam roh sebelum dizahirkan ke dunia yang fana ini.
InsyaALLAH akan bersambung lagi.
Mengucap Dua Kalimah Syahadah
Di sini saya nyatakan secara ringkas sahaja. InsyaALLAH jika berkesempatan akan dihuraikan nanti.
RUKUN SHAHADAH EMPAT PERKARA
1. Mengisbatkan Zatullah
2. Mengisbatkan Sifatullah
3. Mengisbatkan Af'al Allah.
4. Menetapkan kebenaran Rasulullah
SYARAT SAH SHAHADAH EMPAT PERKARA
1. Diikrarkan
2. Diiktiqadkan
3. Diiktirafkan
4. Diamalkan
FARDHU SHAHADAH DUA PERKARA.
1. Ikrar dengan lidah
2. Tasdiq dengan hati
BINASA SHAHADAH EMPAT PERKARA.
1. Menduakan Allah.
2. Syak dalam hatinya.
3. Menyangkal dirinya dijadikan oleh Allah.
4. Tiada mengisbatkan Zatullah.
InsyaALLAH akan bersambung lagi
Rukun Islam
*Mengucap dua kalimah syahadah*
*Mendirikan solat lima waktu sehari semalam*
*Berpuasa di bulan Ramadhan*
*Mengeluarkan zakat*
*Menunaikan haji bagi yang berkemampuan*
Wednesday, April 28, 2010
Tafsir Sufi dan Fadhilat 99 Asma' ul-Husna
Disusun oleh:
Ustaz Haji Mohamed bin Haji Ali
Buku ini adalah terjemahan kitab asal oleh Imam al-Qusyairi yang bertajuk *At-Ta'bir fit-Tadzkir*. Buku ini mengupas berkenaan dengan tafsiran Asma ul-Husna, Zikir-zikir yang menggunakan Asma ul-Husna dan juga fadhilat-fadhilat Asma ul-Husna.
Rahsia Air Mata Kusyuk
Buku ini menceritakan hal-hal yang tersembunyi di sebalik titisan air mata kusyuk di kalangan mukmin samada melalui solat, zikir ataupun doa. Buku ini juga menjelaskan secara ringkas cara-cara untuk memperoleh 'kusyuk' dalam melaksanakan ibadat kepada ALLAH. Satu buku yang baik untuk menyempurnakan lagi solat, zikir mahupun doa kepada ALLAH.
Terima Kasih
Bermunajat di sepertiga malam
Memohon wangi bunga
Di kaki Syurga
Bagi menyerikan perasaan
Bagi mendewasakan percintaan
Terima kasih
Kerana merantaiku dengan cinta
Kerana mengajarku erti bahagia
Menjadi manusia
Terima kasih
Kerana merantaiku dengan cinta
Kerana mengajarku erti bahagia
Menjadi manusia
Kerana kau KEKASIH
Bermunajat di sepertiga malam
Memohon wangi bunga
Di kaki Syurga
Bagi menyerikan perasaan
Bagi mendewasakan percintaan
*Loving Born*
Thursday, April 22, 2010
Wudhu'
PENGERTIAN WUDHU’,
Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu.
Dari segi syara‘, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.
HUKUM WUDHU’
Hukum wudhu’ adalah seperti berikut:
1) Wajib atau fardhu, iaitu ketika hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, ketika hendak melakukan tawaf Ka‘bah sama ada tawaf fardhu atau sunat, ketika hendak menyentuh Al-Qur’an dan sebagainya.
2) Sunat. Banyak perkara yang disunatkan berwudhu’, antaranya ialah untuk membaca atau mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca atau mendengar bacaan hadith, membawa kitab tafsir, kitab hadith atau kitab fiqh, melakukan azan, duduk di dalam masjid, melakukan tawaf di ‘Arafah, melakukan sa‘i, menziarahi makam Rasulullah, ketika hendak tidur, mengusung jenazah, malah disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’ dan memperbaharui wudhu’.
HIKMAH WUDHU’
Hikmah berwudhu’ ialah kerana anggota-anggota tersebut terdedah kepada kekotoran yang zahir seperti habuk, debu dan lain-lain serta banyak terdedah dengan dosa dan maksiat sama ada zahir atau batin.
FARDHU WUDHU’
1) Berniat ketika meratakan air ke seluruh muka. Niat wudu’ adalah seperti berikut:
Maksudnya:
“Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta‘ala”.
atau
Maksudnya:
“Sahaja aku berwudhu’ kerana Allah Ta‘ala”.
2) Membasuh muka. Had atau batasan muka yang wajib dibasuh adalah dari tempat tumbuh rambut di sebelah atas sehingga sampai kedua tulang dagu sebelah bawah dan lintangannya adalah dari anak telinga hingga ke anak telinga.
3) Membasuh dua tangan hingga dua siku. Bagi orang yang tiada siku disunatkan membasuh hujung anggota yang ada.
4) Menyapu sedikit kepala. Boleh disapu di ubun-ubun atau lain-lain bahagian rambut yang ada di dalam had atau kawasan kepala, tetapi yang utamanya adalah menyapu seluruh kepala.
5) Membasuh dua kaki hingga dua buku lali.
6) Tertib, iaitu melakukan perbuatan itu daripada yang pertama hingga akhir dengan teratur.
SYARAT-SYARAT WUDHU’
Terdapat dua syarat dalam wudhu’ iaitu syarat wajib dan syarat sah.
Syarat Wajib Wudhu’
1) Islam.
2) Baligh.
3) Berakal.
4) Mampu menggunakan air yang suci dan mencukupi.
5) Berlakunya hadath.
6) Suci daripada haidh dan nifas.
7) Kesempitan waktu. Wudhu’ tidak diwajibkan ketika waktu yang panjang tetapi diwajibkan ketika kesempitan waktu.
Syarat Sah Wudhu’
1) Meratakan air yang suci ke atas kulit, iaitu perbuatan meratakan air pada seluruh anggota yang dibasuh hingga tiada bahagian yang tertinggal.
2) Menghilangkan apa sahaja yang menghalang sampainya air ke anggota wudhu’.
3) Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu’ seperti darah haidh, nifas, air kencing dan seumpamanya.
4) Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berterusan dalam keadaan hadath seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas.
Selain itu, terdapat beberapa syarat wudhu’ mengikut ulama’ mazhab Syafi‘i, iaitu:
1) Islam.
2) Mumayyiz.
3) Suci daripada haidh dan nifas.
4) Bersih daripada apa sahaja yang boleh menghalang sampainya air ke kulit.
5) Mengetahui kefardhuan wudhu’.
6) Tidak menganggap sesuatu yang fardhu di dalam wudhu’ sebagai sunat.
7) Menghilangkan najis ‘aini yang terdapat pada badan dan pakaian orang yang berwudhu’.
8) Tidak terdapat pada anggota wudhu’ bahan yang mengubahkan air.
9) Tidak mengaitkan (ta‘liq) niat berwudhu’ dengan sesuatu.
10) Mengalirkan air ke atas anggota wudhu’.
11) Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berhadath berterusan.
12) Muwalat, iaitu berturutan.
SUNAT WUDHU’
Perkara sunat ketika berwudhu’ adalah sangat banyak, di antaranya ialah:
1) Membaca “basmalah” iaitu lafaz
2) Membasuh dua tapak tangan hingga pergelangan tangan.
3) Berkumur-kumur.
4) Memasukkan air ke dalam hidung.
5) Menyapu seluruh kepala.
6) Menyapu dua telinga.
7) Menyelati janggut yang tebal.
8) Mendahulukan anggota yang kanan daripada yang kiri.
9) Menyelati celah-celah anak jari tangan dan kaki.
10) Melebihkan basuhan tangan dan kaki dari had yang wajib.
11) Mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali.
12) Berturut-turut iaitu tidak berselang dengan perceraian yang lama di antara satu anggota dengan anggota yang lain yang menyebabkan anggota itu kering.
13) Menggosok anggota wudhu’ supaya lebih bersih.
14) Bersugi dengan sesuatu yang kesat.
15) Menghadap qiblat.
16) Membaca doa selepas berwudhu’, iaitu:
Maksudnya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa dan tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hambaNya dan RasulNya. Wahai Tuhanku, jadikan aku dari golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikan aku dari golongan orang-orang yang bersih.”
PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU’
1) Keluar sesuatu daripada lubang dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi atau air wadi dan sebagainya melainkan air mani sendiri kerana apabila keluar mani diwajibkan mandi.
2) Tidur yang tidak tetap punggungnya, kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung ke tempat duduk.
3) Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, sakit, pengsan atau pitam kerana apabila hilang akal, seseorang itu tidak mengetahui keadaan dirinya.
4) Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang halal nikah atau ajnabiyyah (bukan mahram) walaupun telah mati.
5) Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur manusia) dengan perut tapak tangan walaupun kemaluan sendiri.
6) Murtad iaitu keluar dari agama Islam.
InsyaALLAH akan bersambung lagi.Wednesday, April 21, 2010
Di Penghujung Rindu
Mahligai menanti penuh gemilang
Bila KEKASIH menyingkap tabir cinta
Tiada terbatas dengan kata-kata
Dapatkah aku membalas dengan air mata
Tanda syukur menerima setelah sekian lama
Menghamba hidup pada dunia
Seribu tahun takkan sama
Sesaat bersatu dalam nyata
Kerna kasih ku sanggup korbankan
Jasad dan nyawa
Terang bulan kerana mentari
Hadir bayang kerana cahaya
Begitulah cinta kita
Tiada jarak pemisah lagi
Tiada garis sempadan budi
Aku terima dan jua memberi
Seikhlas hati
Seribu tahun dan sejuta langkah
Seribu tahun bersinar cinta
Kita bertemu di penghujung rindu
*Jamal Abdillah*
Mandi Junub
Pengertian
Mandi junub adalah mandi wajib untuk membersihkan diri dari hadas besar dengan mengalirkan air ke seluruh bahagian tubuh. Jika tidak mandi junub sementara kita dalam keadaan junub, maka solat kita tidak sah.
Sebab mandi junub :
1) Keluarnya mani, samada kerana syahwat atau kerana sebab yang lainnya. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sabda baginda sebagai berikut :
Dari Abi Sa’id Al Khudri dari Nabi Muhammad s.a.w, bahawa baginda bersabda : “Hanyalah air itu (yakni mandi) adalah kerana air pula (yakni kerana keluar air mani)”. HR. Muslim dalam Shahihnya.
Dalam menerangkan hadis ini Al Imam Abu Zakaria Muhyiddin bin Syaraf An Nawawi menyatakan : “Dan maknanya ialah : Tidak wajib mandi dengan air, kecuali bila telah keluarnya air yang kental, iaitu mani”.
2) Berhubungan seks, baik keluar mani atau tidak keluar mani. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan Nabi Muhammad s.a.w dalam sabdanya sebagai berikut :
Dari Abi Hurairah r.a, dari Nabi Muhammad s.a.w, bahawa beliau bersabda : “Apabila seorang lelaki telah duduk di antara empat bahagian tubuh perempuan (yakni berhubungan seks) kemudian dia bersungguh-sungguh padanya (yakni memasukkan kemaluannya pada kemaluan perempuan itu), maka sesungguhnya dia telah wajib mandi kerananya”. HR. Bukhari dalam Shahihnya.
3) Berhentinya haid dan nifas.
4) Mati dalam keadaan Muslim, maka yang hidup wajib memandikannya.
Cara menunaikan mandi junub :
Kerana menunaikan mandi junub itu adalah termasuk ibadah kepada Allah Ta’ala, maka disamping harus dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata, juga harus pula dilaksanakan dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam hal ini terdapat beberapa riwayat yang menceritakan beberapa cara mandi junub tersebut. Riwayat-riwayat itu adalah sebagai berikut :
1) “Dari Ali bin Abi Thalib, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : Barangsiapa yang meningggalkan bahagian tubuh yang harus dialiri air dalam mandi junub walaupun satu rambut untuk tidak dibasuh dengan air mandi itu, maka akan diperlakukan kepadanya demikian dan demikian dari api neraka”. HR. Abu Daud dalam Sunannya hadis ke 249 dan Ibnu Majah dalam Sunannya hadis ke 599. Dan Ibnu Hajar Al Asqalani menshahihkan hadis ini dalam Talkhishul Habir jilid 1 halaman 249.
Dengan demikian kita harus meratakan air ketika mandi junub ke seluruh tubuh dengan hati-hati sehingga dilakukan penyiraman air ke tubuh kita itu berkali-kali dan rata.
2) “Dari A’isyah r.a beliau menyatakan : Kebiasaannya Rasulullah s.a.w apabila mandi junub, baginda memulai dengan mencuci kedua telapak tangannya, kemudian baginda berwudhu’ seperti wudhu’ baginda untuk solat, kemudian baginda memasukkan jari jemari baginda ke dalam air, sehingga baginda menyilang-nyilang dengan jari jemari itu rambut baginda, kemudian baginda mengalirkan air ke seluruh tubuh baginda”. HR. Al Bukhari dalam Shahihnya hadis nombor 248 (Fathul Bari) dan Muslim dalam Shahihnya hadis ke 316. Dalam riwayat Muslim ada tambahan lafaz berbunyi demikian : “Kemudian baginda mengalirkan air ke seluruh tubuhnya, kemudian mencuci kedua telapak kakinya”.
Jadi dalam mandi junubnya Rasulullah s.a.w, beliau memasukkan air ke sela-sela rambut baginda dengan jari-jemari baginda. Ini adalah untuk memastikan ratanya air mandi junub itu sampai ke kulit yang ada di balik rambut yang tumbuh di atasnya. Sehingga air mandi junub itu benar-benar mengalir ke seluruh kulit tubuh.
3) “Maimunah Ummul Mu’minin menceritakan : Aku dekatkan kepada Rasulullah s.a.w air mandi baginda untuk janabat. Maka baginda mencuci kedua telapak tangan baginda dua kali atau tiga kali, kemudian baginda memasukkan kedua tangan baginda ke dalam bejana air itu, kemudian baginda mengambil air dari padanya dengan kedua telapak tangan itu untuk kemaluannya dan baginda mencucinya dengan telapak tangan kiri baginda, kemudian setelah itu baginda memukulkan telapak tangan baginda yang kiri itu ke lantai dan menggosoknya dengan lantai itu dengan sekeras-kerasnya. Kemudian setelah itu baginda berwudhu’ dengan cara wudhu’ yang dilakukan untuk solat. Setelah itu baginda menuangkan air ke atas kepalanya tiga kali tuangan dengan sepenuh telapak tangannya. Kemudian baginda membasuh seluruh bahagian tubuhnya. Kemudian baginda bergeser dari tempatnya sehingga baginda mencuci kedua telapak kakinya, kemudian aku bawakan kepada baginda kain handuk, namun baginda menolaknya”. HR. Muslim dalam Shahihnya hadis ke 317 dari Ibnu Abbas.
Dari hadis ini, menunjukkan bahawa setelah membasuh kedua telapak tangan sebagai permulaan amalan mandi junub, maka membasuh kemaluan sampai bersih dengan telapak tangan sebelah kiri dan setelah itu telapak tangan kiri itu digosokkan ke lantai dan baru mulai berwudhu’. Juga dalam riwayat ini ditunjukkan bahwa setelah mandi junub itu, sunnahnya tidak mengeringkan badan dengan kain handuk.
4) “Dari Maimun (isteri Rasulullah s.a.w), beliau memberitakan bahawa Nabi s.a.w ketika mandi junub, baginda mencuci kemaluannya dengan tangannya, kemudian tangannya itu digosokkan ke tembok, kemudian setelah itu baginda mencuci tangannya itu, kemudian baginda berwudhu’ seperti cara wudhu’ baginda untuk solat. Maka ketika baginda telah selesai dari mandinya, baginda membasuh kedua telapak kakinya”. HR. Bukhari dalam Shahihnya, hadis ke 260.
Dari hadis ini, menunjukkan bahawa menggosokkan telapak tangan kiri setelah mencuci kemaluan dengannya, boleh juga menggosokkannya ke tembok dan tidak semestinya ke lantai. Juga dalam hadis ini diterangkan bahawa setelah menggosokkan tangan ke tembok itu, tangan tersebut dicuci, baru kemudian berwudhu’.
Kesimpulan
Dari berbagai riwayat tersebut di atas kita dapat simpulkan, bahwa cara mandi junub itu adalah sebagai berikut :
1) Mandi junub harus diniatkan ikhlas semata kerana Allah Ta’ala dalam rangka mentaatiNya dan beribadah kepadaNya semata.
2) Dalam mandi junub, harus dipastikan bahawa air telah mengenai seluruh tubuh sampai kulit yang ada di balik rambut yang tumbuh di manapun di seluruh tubuh kita. Kerana itu siraman air itu harus pula dibantu dengan jari jemari tangan yang mengalirkan air itu ke bahagian tubuh yang paling tersembunyi sekalipun.
3) Mandi junub dimulai dengan membasuh kedua telapak tangan sampai pergelangan tangan, masing-masing tiga kali dan cara membasuhnya dengan menyiram kedua telapak tangan itu dengan air yang diambil dengan gayung. Dan bukannya dengan mencelupkan kedua telapak tangan itu ke dalam air.
4) Setelah itu mengambil air dengan telapak tangan untuk mencuci kemaluan dengan telapak tangan kiri sehingga bersih.
5) Kemudian telapak tangan kiri itu digosokkan ke lantai atau ke tembok sebanyak tiga kali. Dan setelah itu dibasuh dengan air.
6) Setelah itu berwudhu’ sebagaimana cara berwudhu’ untuk solat.
7) Kemudian menyiram air dari kepala ke seluruh tubuh dan menyilang-nyilangkan air dengan jari tangan ke sela-sela rambut kepala dan janggut, misai serta rambut mana saja di tubuh kita sehingga air itu rata mengenai seluruh tubuh.
8) Kemudian bila diyakini bahawa air telah mengenai seluruh tubuh, maka mandi itu diakhiri dengan membasuh kedua telapak kaki sampai buku lali kaki.
9) Disunnahkan untuk tidak mengeringkan badan dengan kain handuk (tuala) atau kain apa pun untuk mengeringkan badan itu.
10) Disunnahkan untuk melaksanakan mandi junub itu dengan tertib seperti yang dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Demikianlah cara mandi junub yang benar sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan juga telah dibuat oleh baginda. Semoga dengan kita menunaikan ilmu ini, amalan ibadah solat kita akan diterima oleh Allah Ta’ala kerana kita telah suci dari junub atau hadas besar.
InsyaALLAH akan bersambung lagi.
Bersugi
Pengertian bersugi
Bersugi adalah perbuatan membersihkan mulut dan gigi.
Alat-alat bersugi
• Berus gigi dan ubatnya yang suci.
• Mayang kelapa.
• Sabut.
• Kayu.
• Apa sahaja yang kesat yang boleh membersihkan gigi.
Hukum Bersugi
Hukum bersugi adalah sunat sepanjang masa.
Waktu-waktu dituntut bersugi
• Ketika hendak membaca Al-quran.
• Hendak mengerjakan solat.
• Ketika perubahan bau mulut.
• Bangun dari tidur.
• Hendak tidur.
• Gigi menjadi kuning.
• Ketika hendak berwuduk.
• Ketika hendak berzikir.
• Ketika hendak memasuki kaabah.
• Hendak masuk rumah selepas berjalan.
• Ketika lapar dan dahaga.
• Ketika hendak mati.
• Hendak musafir atau balik dari musafir.
Makruh bersugi
Orang yang berpuasa tak kira sama ada puasa fardu (Ramadan) atau puasa sunat selepas gelincir matahari, iaitu selepas masuk waktu zuhur.
Cara-cara bersugi
• Menggunakan tangan kanan.
• Memulakan daripada sebelah kanan mulut.
• Gosok langit-langit mulut dengan perlahan-lahan.
• Gosok bahagian gusi dan gigi dengan perlahan-lahan.
• Hilangkan lendir-lendir yang ada pada lidah dengan menggunakan alat-alat tertentu.
Kelebihan Bersugi
• Solat dengan bersugi lebih baik daripada 70 rakaat solat yang tidak bersugi.
• Menyucikan mulut dan gigi.
• Mendapat keredaan Allah.
• Mencergaskan otak.
• Mencerahkan mata.
• Melambatkan tumbuh uban.
• Mengurangkan bongkok dan sakit buah pinggang.
• Melipatgandakan pahala.
• Mengingatkan dua kalimah shahadat ketika hampir mati
InsyaALLAH akan bersambung lagi.
Qada Hajat dan Adab-adabnya
Qada Hajat atau Buang Air terbahagi kepada tiga hukum:
1) Cara yang haram.
2) Cara yang makruh.
3) Cara yang sunat.
Cara Qada Hajat yang diharamkan1) Membawa bersama sesuatu yang bertulis ayat-ayat quran, hadis atau nama-nama para rasul ketika qada hajat.
2) Menghadap atau membelakangkan kiblat ketika qada hajat di tempat lapang. Sekiranya qada hajat di tempat yang berdinding maka tidaklah diharamkan.
3) Membuang air besar atau kecil dalam lubang yang diketahui di dalamnya ada haiwan.
4) Qada hajat di atas kubur.
5) Membuang air di tempat ibadah seperti di surau, masjid, musalla dan sebagainya.
6) Membuang air di atas kitab-kitab agama .
7) Membuang air di atas makanan.
8) Membuang air di tempat perhentian orang ramai atau di jalan raya.
Cara Qada Hajat Yang Dimakruhkan
1) Membuang air sambil berdiri kecuali dengan keuzuran atau darurat yang tidak membolehkan seseorang itu duduk seperti disebabkan sakit.
2) Bercakap-cakap ketika buang air pada perkara yang tidak penting, kecuali dalam keadaan darurat.
3) Membuang air di dalam lubang yang tidak diketahui di dalamnya ada binatang atau tidak.
4) Membuang air di bawah pokok buah-buahan
5) Membuang air dalam air tenang yang tidak mengalir.
6) Membuang air berhampiran dengan kawasan perkuburan.
Cara-cara Qada Hajat Yang disunatkan
1) Membuang air di tempat terselindung dari orang ramai seperti di dalam tandas atau di sebalik batu.
2) Memulakan masuk ke dalam taandas dengan menggunakan kaki kiri.
3) Ketika hendak masuk, baca doa ini:
Ertinya : "Wahai Tuhanku, aku berlindung pada-Mu dari kejahatan syaitan jantan dan betina."
4) Memakai alas kaki seperti selipar dan kasut ketika masuk tandas.
5) Memakai penutup kepala seperti tudung, semutar dan sebagainya ketika qada hajat.
6) Beristibak, iaitu berdehem-dehem supaya najis habis keluar.
7) Ketika keluar dari tandas, mulai langkah kaki kanan dahulu.
8) Ketika keluar dari tandas, membaca doa ini.
Ertinya: "Wahai Tuhanku, hilangkan dariku segala kekotoran dan beri kesihatan kepadaku."
Hal-hal yang harus dilakukan sebelum buang air
1) Hendaklah mencari tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang (kiranya tidak menggunakan tandas).
2) Jangan memasuki tandas atau tempat buang air dengan membawa sesuatu yang ada kalimah Allah.
3) Jangan membuka pakaian sebelum berada dekat tempat buang air, ini adalah bagi mempastikan agar aurat tetap terjaga sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh hukum syariat.
4) Mendahulukan kaki kiri waktu masuk ke tandas dan disunatkan berdoa:
"Ya Allah! hamba berlindung pada-Mu dari segala yang kotor dan keji"
5) Janganlah buang air dengan menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya, jika sekiranya di tempat-tempat yang tidak berdinding..
6) Jangan membuang air besar atau air kecil (berak atau kencing) di tempat orang biasa berteduh, di jalan-jalan, di tempat mandian atau di bawah pokok yang berbuah.
7) Janganlah bercakap-cakap sewaktu buang air.
Adab buang air
1) Sunat mendahulukan kaki kiri ketika masuk ke tandas, dan mendahulukan kaki kanan ketika keluar.
2) Jangan membawa sesuatu kalimah Al-Quran, atau hadis atau zikrullah ke dalam tandas.
3) Hendak memakai sepatu atau terompah atau seumpamanya.
4) hendaklah jauh dari orang sehingga bau kotoran tidak sampai kepadanya.
5) Janganlah berkata-kata selama dalam tandas itu, kecuali apabila ada keperluan yang sangat penting yang tidak dapat ditangguhkan.
6) Jangan buang air di air yang tenang, kecuali jika air tenang itu terbentang luas seperti tasik yang luas atau laut.
7) Jangan buang air di lubang tanah, kerana kemungkinan ada binatang yang mendapat kesakitan di dalam lubang itu.
8) Jangan membuang air di atas kubur.
9) Jangan membuang air besar atau kecil di tempat-tempat beribadat seperti masjid, surau dan sebagainya (Kecuali di tandas-tandas yang telah disediakan di tempat-tempat ibadat tersebut).
10) Jangan membuang air di atas kitab-kitab agama atau di atas makanan.
11) Jangan buang air di mana-mana tempat perhentian.
InsyaALLAH akan bersambung lagi.
Istinjak
Istinjak Ialah menghilangkan najis kecil atau besar dari tempat keluarnya dengan sesuatu yang bersih seperti air, batu, kertas dan sebagainya sehingga kesan najis itu dibersihkan.
Apabila keluar kotoran dari salah satu, iaitu dari qubul atau dubur, wajib istinjak dengan menggunakan air atau dengan tiga ketul batu.
Hukum Istinjak
Beristinjak adalah hukumnya wajib berdasarkan Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
Bahawa Nabi (SAW) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat-gumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil.
(Hadis Riwayat; Bukhari dan Muslim)
Syarat-syarat Istinjak
1) Menghilangkan rasanya.
2) Menghilangkan baunya.
3) Menghilangkan warnanya.
Rukun Istinjak
1) Islam.
2) Alat untuk istinjak. Dengan menggunakan air, batu, kertas atau seumpamanya.
3) Tempat yang diistinjak iaitu qubul dan dubur.
4) Yang diistinjakkan itu sesuatu yang keluar daripada dua jalan iaitu qubul atau dubur.
Cara mengerjakan Istinjak
1) Istinjak itu 3 kali dan kalau masih belum suci, boleh diulang lagi sehingga suci.
2) Alat dibuat istinjak itu mestilah melingkupi tempat yang disapu itu.
3) Beristinjak itu mestilah dapat membersihkan tempat najis yang keluar.
Cara beristinjak dengan Air (Air Mutlak)
1) Tuangkan air dengan menggunakan tangan kanan di atas tempat najis.
2) Gosok tempat najis dengan menggunakan jari tengah tangan kiri.
3) Makruh memasukkan jari ke dalam dubur.
4) Bagi perempuan yang dara semasa beristinjak hendaklah membasuh benda yang zahir pada farajnya ketika ia duduk mencangkung dengan memasukkan sedikit ruas jarinya.*
5) Mendahulukan istinjak pada qubul daripada dubur supaya tidak terpercik najis padanya ketika membasuh dubur.
6) Sunat selepas intinjak menggosak tangan ke tanah sebelum membasuh tangan.
7) Sunat ketika intinjak membaca doa :
Ertinya ; "Ya Allah, sucikanlah hatiku daripada sifat nifak dan peliharakanlah kemaluan aku daripada kejahatan."
8) Tidak sunat mencium tangan selepas istinjak.
9) Hendaklah hilang ain najis, warna dan rasanya (rasa di tangan). Jika sukar menghilangkan baunya atau warnanya selepas digosak dan dibasuh beberapa kali maka ianya dimaafkan. Bagi memastikan najis telah suci memadai bila merasai kesat pada kulit dubur lelaki dan licin bagi perempuan.*
Cara yang baik dilakukan istinjak ialah dengan menggunakan air, tetapi harus juga dilakukan dengan benda-benda kesat yang suci dengan syarat.
1) Benda itu mesti kering sama ada kayu, batu, daun dan lain-lain. Kalau ia basah, maka tidak boleh digunakan.
2) Benda itu mesti kesat. Kalau kering tetapi licin maka tidak sah untuk istinjak seperti kertas atau plastik atau belakang buluh.
3) Benda itu bukan benda yang dihormati seperti makanan, pakaian, tulang atau seumpamanya.
4) Bukan benda-benda yang bertulis dengan ayat-ayat al-quran, hadis dan seumpamanya. Sekiranya ada , berdosa menggunakannya.
5) Najis yang keluar tidak melecer ke tempat lain. Sekiranya ia melecer ke tempat lain maka air diperlukan untuk beristinjak.
6) Hendaklah dihilangkan najis itu sekurang-kurangnya dengan tiga ketul batu ataupun dengan sebiji batu tiga persegi. Sekiranya masih tidak suci, hendaklah ditambah batu sehingga suci.
Cara Beristinjak dengan menggunakan batu pada dubur
1) Sunat dimulai dengan menyapu yang pertama pada bahagian hadapan papan punggung yang kanan lalu diedarkan pada tempat permulaan sapuan.
2) Kemudian mulakan sapuan yang kedua pada bahagian hadapan papan punggung kiri lalu diedarkan kepada tempat permulaan yang disapu.
3) Sapuan yang ketiga pada hujung dubur atau qubul.
4) Sunat ketika menyapu dimulai pada tempat yang suci ke tempat yang ada najis secara perlahan-lahan.
5) Sunat istinjak dengan batu, dahulukan istinjak pada dubur kerana najis pada dubur lebih dahulu kering daripada qubul. Jika najis telah kering, wajib menggunakan air.
Cara Istinjak Dengan Batu Pada Qubul ( Zakar atau Faraj)
Disapu di tiga tempat pada batu besar atau tiga ketul batu. Jika diulang-ulang di tempat yang sama dengan satu batu, maka wajib beristinjak dengan menggunakan air.
Hal-hal yang perlu diperhatikan ketika insinjak
1) Jangan bersuci dengan tulang, makanan atau tahi kering.
2) Jangan bersuci dengan menggunakan tangan kanan atau memegang zakar dengan tangan kanan.
3) Hendaklah bersuci dengan batu dalam bilangan ganjil, seperti tiga ketul batu, lima ketul batu dan sebagainya.
4) Bila bersuci dengan air dan batu, hendaklah menggunakan batu terlebih dahulu, kemudian dengan air, bila memilih salah satu, pilihlah air kerana air lebih baik digunakan untuk bersuci.
InsyaALLAH akan bersambung lagi.
Bersuci
Saudaraku sekalian,
Dari ayat di atas jelaslah bahawa ALLAH amat menyukai orang-orang yang bertaubat dan juga mereka yang MENYUCIKAN DIRI. Untuk menyucikan diri ada beberapa perkara yang perlu kita tahu dan faham iaitu:
1) Jenis-jenis bersuci.
2) Jenis-jenis najis.
3) Jenis-jenis air.
Terdapat 3 jenis bersuci iaitu
1) Bersuci dari hadas kecil.
Apabila kita berada dalam keadaan hadas kecil, kita dilarang mengerjakan solat dan menyentuh al-Quran.Cara untuk bersuci ialah dengan mengambil wudhu'.
2) Bersuci dari hadas besar.
Apabila kita dalam keadaan hadas besar, solat, puasa, menunaikan haji, iktikaf di masjid dan menyentuh atau membaca al-Quran. Cara untuk bersuci alah dengan mandi junub (mandi wajib).
3) Istinjak
Bertujuan bagi menghilangkan najis yang keluar dari dua saluran iaitu qubul dan dubur.
Terdapat 3 jenis najis dalam Islam yang mana pembahagiannya adalah seperti berikut:
1) Najis Mukhaffafah
Hanya satu iaitu air kencing anak lelaki yang berumur kurang 2 tahun dan tidak minum atau makan selain dari susu ibunya sahaja. Cara menyucikan najis ini ialah dengan merenjis air pada tempat yang terkena najis dan lapkan sahaja.
2) Najis Mughallazah
Terdapat dua iaitu anjing dan babi serta segala anggota tubuhnya. Cara menyucikan ialah dengan dengan menyiram sekali air tanah atau lumpur dan dibilas 6 kali dengan air yang bersih.
3) Najis Mutawasitah
Ialah najis selain daripada 2 najis di atas. Cara penyuciannya terbahagi kepada dua:
(i)Hikmiah adalah najis yang kita yakini adanya tetapi tidak nyata zatnya seperti air kencing yang sudah lama kering hinggakan sifatnya sudah hilang.Najis ini disucikan dengan mengalirkan air ke atasnya.
(ii)'Ainah adalah najis yang dicuci dengan menghilangkan dan membersihkan semua zatnya.
Jenis-jenis air terbahagi kepada 5 iaitu:
1) Air Mutlak.
Air yang suci lagi menyucikan. Air ini boleh digunakan untuk bersuci dan juga mengambil wudhu'.
2) Air Musta'mal
Air yang suci tapi tidak menyucikan contohnya air kopi, teh, kelapa, tebu dll. Air seperti ini boleh diminum tetapi tidak boleh digunakan untuk bersuci.
3) Air Muqaiyyad
Air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya sama ada dari segi warna, bau atau rasa yang menyebabkan air tersebut tidak dipanggil air mutlak lagi contohnya air mutlak yang telah bercampaur dengan air musta'mal. Air ini juga tidak boleh digunakan untuk bersuci.
4) Air Musyammas
Air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh menggunakannya. Musyammas ialah air yang disimpan di dalam bekas logam dan terdedah kepada panas matahari. Air yang sedang panas itu makruh hukumnya digunakan untuk berwuduk dan bersuci daripada hadas.
5) Air Mutanajjis
Air yang telah terjatuh najis ke dalamnya sehingga berubah warna, bau atau rasa walaupun jika dicampur hingga kadar dua kolah. Tidak suci, tidak boleh diminum dan tidak boleh dibuat bersuci.
InsyaALLAH akan bersambung lagi.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Selawat dan Salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah yang beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-'Alaq: 1-5)
Saudaraku sekalian,
Penurunan wahyu pertama kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w bermula dengan surah al-'Alaq yang bermaksud "Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan...." dan diperkukuhkan dengan ayat seterusnya ... dan Tuhanmu yang Maha Mulia yang mengajarkan dengan pena..." surah ini jelas menyatakan supaya orang-orang Islam membaca, kerana dengan membacalah bermulanya segala jenis ilmu pengetahuan baik yang ke arah dunia ataupun akhirat.
Saudaraku sekalian,
Hati ini telah tergerak untuk membuka satu lembaran bagi berkongsi ilmu sekadar yang ada kerana sesungguhnya aku sangat kasihkan saudara-saudaraku yang masih terlena di ulit dengan kemewahan dunia. InsyaALLAH akan ku sampaikan semudah mungkin supaya dapat difahami dan diamalkan dalam perjalanan menuju keredhaan ALLAH.
Saudaraku sekalian,
Sekiranya ada kemusykilan terhadap apa-apa perkara bolehlah diajukan, sekiranya dapat akan dijawab dengan sebaik mungkin sekiranya tidak sama-samalah kita mencari jawapan bagi persoalan tersebut. InsyaALLAH niat yang baik ini akan dibantu oleh ALLAH.
Setakat ini saja dulu mukaddimah dari insan kerdil ini. Semoga kita bertemu kembali InsyaALLAH.
Assalamualaikum w.b.t