Saturday, May 1, 2010

Mendirikan Solat Lima Waktu Sehari Semalam



Antara dalil-dalil yang berkaitan kewajipan solat adalah seperti berikut:

1) "Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk" (al-Baqarah:43)

2) "Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar" (al-Ankabut:45)

3) "Kemudian apabila kamu berasa tenteram berada dalam keadaan aman, dirikanlah solat itu dengan sempurna sebagaimana biasa. Seseungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya" (an-Nisa':103)

Sebagai seorang yang mengaku Islam, hendaklah kita mempelajari dan faham tentang apa itu solat dan cara-cara mengerjakannya. Solat ini adalah berkait rapat dengan ibadah-ibadah yang lain dan solat yang sebenar-benar solat akan mencegah kita daripada melakukan amalan-amalan yang keji dan mungkar. Apa yang akan saya terangkan di sini adalah pengertian solat, rukun solat, syarat sah solat dan perkara-perkara yang membatalkan solat.

Pengertian Solat

Solat dari segi bahasa bermaksud "doa memohon kebajikan dan pujian" berdasarkan penggunaan perkataan 'solat' oleh orang-orang Arab pada zaman sebelum kedatangan Islam lagi.

Saya tertarik untuk mendefinasikan solat menurut penerangan oleh Hasbi ash-Shiddieqy yang mana erti solat ini dibahagikan kepada 4 iaitu:

1) Suratus Solat: Rupa solat yang zahir sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak iaitu beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam.

2) Haqiqatus Solat: Rupa solat yang batin (Sir) iaitu menghadapkan jiwa kepada ALLAH, secara yang mendatangkan takut kepadaNya dan mewujudkan dalam jiwa rasa keagungan kebesaranNya dan kesempurnaan kekuasaanNya.

3) Ruhus Solat: Jiwa solat ataupun roh solat sebagaimana yang didefinasikan oleh ahli Ma'rifat: "Roh solat adalah mengaharapkan ALLAH dengan sepenuh jiwa, dengan segala kekusyukkan di hadapanNya dan ikhlas untukNya serta hadir hati dalam berzikir, berdoa dan memuji".

4) Pengertian yang melengkapkan rupa ataupun bentuk, hakikat dan jiwa solat ialah "Menghadapkan hati ataupun jiwa kepada ALLAH secara yang mendatangkan takut kepadaNya dan mewujudkan dalam jiwa rasa keagungan kebesaranNya dan kesempurnaan kekuasaanNya dengan sepenuh hati, kusyuk dan ikhlas dalam beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam"

Rukun Solat

Rukun Solat terdiri daripada 13 Rukun yang mana jika tidak ditunaikan maka tidaklah perbuatan itu digelarkan sebagai 'Solat'. Rukun-rukun solat adalah seperti berikut:

1) Berdiri betul
2) Niat
3) Takbiratul Ihram
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Rukuk dengan Tuma'ninah
6) Iktidal dengan Tuma'ninah
7) Sujud dengan Tuma'ninah
8) Duduk antara dua sujud dengan Tuma'ninah
9) Duduk tahiyat akhir
10) Membaca tahiyat akhir
11) Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dalam tahiyat akhir
12) Salam
13) Tertib

InsyaALLAH penerangan terhadap rukun-rukun solat ini akan diberikan kemudian.

Syarat Sah Solat

Syarat sah solat ialah syarat yang menentukan sesuatu kesahihan solat atau dalam erti kata lain sah atau tidak sesuatu solat itu bergantung kepadanya. Syarat sah solat terdiri daripada 5 perkara iaitu:

1) Suci daripada hadas kecil dan besar
2) Suci tubuh badan, pakaian dan tempat solat daripada sebarang najis
3) Mengetahui masuknya waktu solat samada dengan yakin ataupun jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenai masuknya waktu solat
4) Menghadap ke arah kiblat
5) Menutup aurat

Perkara Yang Membatalkan Solat

Solat seseorang itu adalah terbatal sekiranya membuat perkara-perkara seperti di bawah:

1) Berkata-kata dengan selain daripada ayat al-Quran
2) Melakukan perbuatan atau pergerakan melebihi 3 kali secara berturutan
3) Tidak membuat salah satu daripada rukun solat
4) Tidak membuat salah satu daripada syarat sah solat
5) Makan dan minum
6) Ketawa, berdehem, atau mengerang kesakitan dengan sengaja
7) Murtad walaupun bukannya secara hukmi

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

No comments:

Post a Comment