Wednesday, April 21, 2010

Mandi Junub




Pengertian

Mandi junub adalah mandi wajib untuk membersihkan diri dari hadas besar dengan mengalirkan air ke seluruh bahagian tubuh. Jika tidak mandi junub sementara kita dalam keadaan junub, maka solat kita tidak sah.

Sebab mandi junub :

1) Keluarnya mani, samada kerana syahwat atau kerana sebab yang lainnya. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sabda baginda sebagai berikut :

Dari Abi Sa’id Al Khudri dari Nabi Muhammad s.a.w, bahawa baginda bersabda : “Hanyalah air itu (yakni mandi) adalah kerana air pula (yakni kerana keluar air mani)”. HR. Muslim dalam Shahihnya.

Dalam menerangkan hadis ini Al Imam Abu Zakaria Muhyiddin bin Syaraf An Nawawi menyatakan : “Dan maknanya ialah : Tidak wajib mandi dengan air, kecuali bila telah keluarnya air yang kental, iaitu mani”.

2) Berhubungan seks, baik keluar mani atau tidak keluar mani. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan Nabi Muhammad s.a.w dalam sabdanya sebagai berikut :

Dari Abi Hurairah r.a, dari Nabi Muhammad s.a.w, bahawa beliau bersabda : “Apabila seorang lelaki telah duduk di antara empat bahagian tubuh perempuan (yakni berhubungan seks) kemudian dia bersungguh-sungguh padanya (yakni memasukkan kemaluannya pada kemaluan perempuan itu), maka sesungguhnya dia telah wajib mandi kerananya”. HR. Bukhari dalam Shahihnya.

3) Berhentinya haid dan nifas.

4) Mati dalam keadaan Muslim, maka yang hidup wajib memandikannya.

Cara menunaikan mandi junub :

Kerana menunaikan mandi junub itu adalah termasuk ibadah kepada Allah Ta’ala, maka disamping harus dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata, juga harus pula dilaksanakan dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam hal ini terdapat beberapa riwayat yang menceritakan beberapa cara mandi junub tersebut. Riwayat-riwayat itu adalah sebagai berikut :

1) “Dari Ali bin Abi Thalib, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : Barangsiapa yang meningggalkan bahagian tubuh yang harus dialiri air dalam mandi junub walaupun satu rambut untuk tidak dibasuh dengan air mandi itu, maka akan diperlakukan kepadanya demikian dan demikian dari api neraka”. HR. Abu Daud dalam Sunannya hadis ke 249 dan Ibnu Majah dalam Sunannya hadis ke 599. Dan Ibnu Hajar Al Asqalani menshahihkan hadis ini dalam Talkhishul Habir jilid 1 halaman 249.

Dengan demikian kita harus meratakan air ketika mandi junub ke seluruh tubuh dengan hati-hati sehingga dilakukan penyiraman air ke tubuh kita itu berkali-kali dan rata.

2) “Dari A’isyah r.a beliau menyatakan : Kebiasaannya Rasulullah s.a.w apabila mandi junub, baginda memulai dengan mencuci kedua telapak tangannya, kemudian baginda berwudhu’ seperti wudhu’ baginda untuk solat, kemudian baginda memasukkan jari jemari baginda ke dalam air, sehingga baginda menyilang-nyilang dengan jari jemari itu rambut baginda, kemudian baginda mengalirkan air ke seluruh tubuh baginda”. HR. Al Bukhari dalam Shahihnya hadis nombor 248 (Fathul Bari) dan Muslim dalam Shahihnya hadis ke 316. Dalam riwayat Muslim ada tambahan lafaz berbunyi demikian : “Kemudian baginda mengalirkan air ke seluruh tubuhnya, kemudian mencuci kedua telapak kakinya”.

Jadi dalam mandi junubnya Rasulullah s.a.w, beliau memasukkan air ke sela-sela rambut baginda dengan jari-jemari baginda. Ini adalah untuk memastikan ratanya air mandi junub itu sampai ke kulit yang ada di balik rambut yang tumbuh di atasnya. Sehingga air mandi junub itu benar-benar mengalir ke seluruh kulit tubuh.

3) “Maimunah Ummul Mu’minin menceritakan : Aku dekatkan kepada Rasulullah s.a.w air mandi baginda untuk janabat. Maka baginda mencuci kedua telapak tangan baginda dua kali atau tiga kali, kemudian baginda memasukkan kedua tangan baginda ke dalam bejana air itu, kemudian baginda mengambil air dari padanya dengan kedua telapak tangan itu untuk kemaluannya dan baginda mencucinya dengan telapak tangan kiri baginda, kemudian setelah itu baginda memukulkan telapak tangan baginda yang kiri itu ke lantai dan menggosoknya dengan lantai itu dengan sekeras-kerasnya. Kemudian setelah itu baginda berwudhu’ dengan cara wudhu’ yang dilakukan untuk solat. Setelah itu baginda menuangkan air ke atas kepalanya tiga kali tuangan dengan sepenuh telapak tangannya. Kemudian baginda membasuh seluruh bahagian tubuhnya. Kemudian baginda bergeser dari tempatnya sehingga baginda mencuci kedua telapak kakinya, kemudian aku bawakan kepada baginda kain handuk, namun baginda menolaknya”. HR. Muslim dalam Shahihnya hadis ke 317 dari Ibnu Abbas.

Dari hadis ini, menunjukkan bahawa setelah membasuh kedua telapak tangan sebagai permulaan amalan mandi junub, maka membasuh kemaluan sampai bersih dengan telapak tangan sebelah kiri dan setelah itu telapak tangan kiri itu digosokkan ke lantai dan baru mulai berwudhu’. Juga dalam riwayat ini ditunjukkan bahwa setelah mandi junub itu, sunnahnya tidak mengeringkan badan dengan kain handuk.

4) “Dari Maimun (isteri Rasulullah s.a.w), beliau memberitakan bahawa Nabi s.a.w ketika mandi junub, baginda mencuci kemaluannya dengan tangannya, kemudian tangannya itu digosokkan ke tembok, kemudian setelah itu baginda mencuci tangannya itu, kemudian baginda berwudhu’ seperti cara wudhu’ baginda untuk solat. Maka ketika baginda telah selesai dari mandinya, baginda membasuh kedua telapak kakinya”. HR. Bukhari dalam Shahihnya, hadis ke 260.

Dari hadis ini, menunjukkan bahawa menggosokkan telapak tangan kiri setelah mencuci kemaluan dengannya, boleh juga menggosokkannya ke tembok dan tidak semestinya ke lantai. Juga dalam hadis ini diterangkan bahawa setelah menggosokkan tangan ke tembok itu, tangan tersebut dicuci, baru kemudian berwudhu’.

Kesimpulan

Dari berbagai riwayat tersebut di atas kita dapat simpulkan, bahwa cara mandi junub itu adalah sebagai berikut :

1) Mandi junub harus diniatkan ikhlas semata kerana Allah Ta’ala dalam rangka mentaatiNya dan beribadah kepadaNya semata.

2) Dalam mandi junub, harus dipastikan bahawa air telah mengenai seluruh tubuh sampai kulit yang ada di balik rambut yang tumbuh di manapun di seluruh tubuh kita. Kerana itu siraman air itu harus pula dibantu dengan jari jemari tangan yang mengalirkan air itu ke bahagian tubuh yang paling tersembunyi sekalipun.

3) Mandi junub dimulai dengan membasuh kedua telapak tangan sampai pergelangan tangan, masing-masing tiga kali dan cara membasuhnya dengan menyiram kedua telapak tangan itu dengan air yang diambil dengan gayung. Dan bukannya dengan mencelupkan kedua telapak tangan itu ke dalam air.

4) Setelah itu mengambil air dengan telapak tangan untuk mencuci kemaluan dengan telapak tangan kiri sehingga bersih.

5) Kemudian telapak tangan kiri itu digosokkan ke lantai atau ke tembok sebanyak tiga kali. Dan setelah itu dibasuh dengan air.

6) Setelah itu berwudhu’ sebagaimana cara berwudhu’ untuk solat.

7) Kemudian menyiram air dari kepala ke seluruh tubuh dan menyilang-nyilangkan air dengan jari tangan ke sela-sela rambut kepala dan janggut, misai serta rambut mana saja di tubuh kita sehingga air itu rata mengenai seluruh tubuh.

8) Kemudian bila diyakini bahawa air telah mengenai seluruh tubuh, maka mandi itu diakhiri dengan membasuh kedua telapak kaki sampai buku lali kaki.

9) Disunnahkan untuk tidak mengeringkan badan dengan kain handuk (tuala) atau kain apa pun untuk mengeringkan badan itu.

10) Disunnahkan untuk melaksanakan mandi junub itu dengan tertib seperti yang dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Demikianlah cara mandi junub yang benar sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan juga telah dibuat oleh baginda. Semoga dengan kita menunaikan ilmu ini, amalan ibadah solat kita akan diterima oleh Allah Ta’ala kerana kita telah suci dari junub atau hadas besar.

InsyaALLAH akan bersambung lagi.

No comments:

Post a Comment